Lapor gangguan seksual kepada pihak berkuasa, tidak perlu tunggu RUU - Rina Harun

Bernama
September 8, 2021 07:03 MYT
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika sidang media selepas menyampaikan Sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di Sungai Pelek hari ini. - Foto BERNAMA
SEPANG: Mangsa gangguan seksual digesa supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya adalah RUU baharu yang mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.
"Sekiranya ada berlaku gangguan seksual, segera lapor kepada pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999. Tak perlu tunggu RUU dibentangkan. Negara kita ada undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di tiga buah rumah di sekitar Sungai Pelek, di sini hari ini.
Rina berkata demikian ketika mengulas desakan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempercepatkan pembentangan RUU berkenaan, berikutan peningkatan kes gangguan seksual membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak.
Menurut laporan media, pembentangan RUU itu dijadualkan pada tahun lepas.
-- BERNAMA
#gangguan seksual #RUU Gangguan Seksual #Rina Harun #menteri pembangunan wanita