KLANG: "'Saya juga sedia disiasat sekiranya ada kesalahan yang saya lakukan".

Demikian tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkaitan kepentingan masyarakat untuk melaporkan sebarang salah laku melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Lapor segera sekiranya terdapat mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh anggota dan pegawai PDRM, termasuk diri saya sendiri.

"Sekiranya saya sendiri langgar undang-undang atau mana-mana pegawai dan anggota PDRM yang didapati langgar peraturan terus lapor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Pandamaran di sini pada Ahad.

Menurutnya, masyarakat dijamin daripada sudut perlembagaan dan peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian.

"Ada sebarang maklumat atau laporan yang kita terima maka siasatan akan terus dijalankan.

"Jangan sesekali susah hati atau bimbang untuk buat laporan berkaitan mana-mana salah laku, sememangnya hak anda dijamin dan itu masyarakat perlu ambil tahu," katanya.

"Tiada soal pilih kasih atau nak lindungi mana-mana anggota mahu pun pegawai yang didapati lakukan kesalahan.

"Selaras dengan slogan PDRM iaitu masyarakat dan polis berpisah tiada, kita mahu jalinan kerjasama ini berkekalan dan kerjasama dalam penyaluran maklumat terutamanya dari aspek jenayah ini amat penting," katanya. - Sinar Harian