KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga dan pemborong supaya tampil membuat laporan jika memperolehi bekalan ayam pada harga melebihi maksimum.

Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid berkata, golongan itu perlu memainkan peranan membantu penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

"Skim ini kita bukan kenakan pada peruncit dan peniaga sahaja. Kita kenakan had harga maksima ini daripada ladang hingga kepada pemborong, pemborong kepada peruncit, peruncit kepada peniaga.

"Jadi, harga yang kita tentukan di ladang adalah RM5.80 (per kilogram). Kalau pemborong beli lebih daripada RM5.80, lapor pada kita ladang mana dia beli, itu pencatutan," katanya di sini pada Isnin.

Beliau mengulas rungutan peniaga ayam di bandar ini yang mendakwa menjadi mangsa cekik darah pemborong sehingga hanya memperoleh untung 10 sen bagi satu kilogram (kg) ayam selepas SHMMP Hari Raya Puasa 2021 dikuatkuasakan.

Sementara itu, menurut Rosol, setakat ini sebanyak 12,772 premis borong dan runcit diperiksa di seluruh negara, menghasilkan sejumlah 38 kes.

Daripada jumlah itu, 15 kes adalah atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum di peringkat borong dan runcit dan 23 kerana kesalahan tidak mempamer tanda harga dan tanda harga merah jambu.

SHMMP 2021 juga setakat ini merekodkan keseluruhan kompaun yang dikeluarkan kepada pemborong dan peniaga bernilai RM5,650 dengan jumlah sitaan RM3,773.