GEORGE TOWN: Orang ramai diminta melaporkan kepada polis sekiranya mengesyaki atau mempunyai bukti terdapat individu yang menggalakkan atau memprovokasi haiwan untuk menyerang.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia membolehkan perkara itu disiasat dan tindakan sewajarnya diambil.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial rakaman video seekor anjing peliharaan menyerang anjing liar hingga mengalami kecederaan di Tanjung Bungah, dan terdapat seorang lelaki memegang tali anjing peliharaan itu ketika insiden berkenaan.
Menurut JPV Pulau Pinang, setelah semakan dibuat terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] didapati tiada peruntukan yang jelas di bawah akta ini yang memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik atas kejadian pergaduhan antara haiwan atau kerana pemilik tidak meleraikan pergaduhan.
“Bagaimanapun, perkara berkaitan tindakan menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang boleh dilihat di bawah Seksyen 8, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336],” menurut kenyataan itu.
Peruntukan itu menyatakan, mana-mana orang yang tanpa alasan yang sah di sisi undang-undang, menggalak atau mendorong mana-mana anjing atau haiwan lain untuk menyerang, membimbangkan atau menakutkan mana-mana orang atau haiwan boleh dikenakan denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan.
"JPV Pulau Pinang sentiasa mengambil serius setiap aduan berkaitan kebajikan haiwan dan akan mengambil tindakan berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu menerusi saluran WhatsApp rasmi aduan MBPP dua hari lepas dan hasil semakan mendapati anjing yang terlibat mempunyai lesen sah serta direkodkan sebagai anjing baka campuran.
Beliau berkata, MBPP telah menangkap anjing itu semalam dan pihaknya memandang serius kejadian ini serta akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
-- BERNAMA