GEORGE TOWN: Polis menggesa orang ramai supaya melaporkan segala maklumat mengenai sebarang bentuk ancaman keselamatan agar tindakan susulan dapat dilakukan segera.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata ia bagi mengelakkan timbulnya kegusaran serta panik dalam kalangan masyarakat yang tidak pasti mengenai kesahihan maklumat diterima itu.

"Jangan viral di TikTok atau mana-mana media sosial...apa-apa maklumat diterima rujuk kepada polis dan kita akan ambil tindakan mengikut prosedur.

"Jangan panik dan timbulkan kegusaran. Lapor kepada kita (sekiranya menerima ancaman) dan kita akan hantar pasukan buat pemeriksaan untuk pastikan (panggilan) itu benar atau palsu," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya pengusaha premis di Pulau Pinang susulan ancaman bom di beberapa pusat beli-belah dan hotel di Johor Bahru, minggu lepas.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat telah mengesahkan panggilan diterima hanyalah panggilan palsu dan dibuat oleh seorang lelaki dipercayai warga asing.

Sementara itu, Khaw berkata pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan berhubung wanita memandu lawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1 Okt lepas ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk cadangan pertuduhan.

"Ujian alkohol yang dijalankan mendapati negatif kandungan alkohol, bermakna wanita itu tidak mabuk ketika kejadian.

"Kita telah lengkapkan kertas dan dirujuk kepada DPP... Sekiranya DPP setuju kita akan teruskan dengan pertuduhan atas kesalahan memandu secara berbahaya dan melulu," katanya.

Beliau berkata, wanita itu diberi jaminan polis sementara menunggu arahan pertuduhan.

Terdahulu, wanita yang bekerja sebagai pegawai bank itu memberi alasan dia panik sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum terlibat kemalangan.

-- BERNAMA