MALAYSIA

Laporan akhir nahas penuntut UPSI: Bas dipandu laju, cecah 114.7 km/j di selekoh

Asyraf Malik 23/01/2026 | 10:29 MYT
Nahas bas membawa 42 mahasiswa UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak berlaku pada 9 Jun lalu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Laporan akhir Kementerian Pengangkutan (MOT) melibatkan nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun 2025 mendedahkan kenderaan berat itu dipandu pada kelajuan sekitar 114.7 kilometer sejam ketika menghampiri kawasan menurun bukit dan berselekoh di Jalan Raya Timur–Barat (Jeli–Gerik).

Analisis kelajuan dan kinematik mendapati bas berkenaan bergerak pada kelajuan yang jauh melebihi had laju ditetapkan iaitu 60 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan keupayaan pemandu untuk mengawal kenderaan tersebut dalam keadaan jalan mencabar.

“Rumusan analisis kelajuan dan kinematik menunjukkan bas persiaran dipercayai berada pada kelajuan sekitar 114.7 km/j, iaitu hampir dua kali ganda had laju yang dibenarkan, ketika menghampiri seksyen jalan berisiko tinggi,” menurut laporan itu.

Kelajuan tinggi tersebut menyebabkan kenderaan gagal distabilkan apabila memasuki selekoh, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan, gelinciran sisi dan keadaan terbalik.

“Kelajuan operasi yang tinggi dalam keadaan jalan menurun, jarak penglihatan terhad serta keupayaan membrek yang terjejas telah menghapuskan sebarang margin keselamatan untuk pemulihan kawalan kenderaan,” jelas laporan berkenaan.

Reka bentuk jalan menetapkan kelajuan sesuai pada 70 kilometer sejam, bermakna pemanduan pada kelajuan lebih tinggi daripada had selamat di laluan tersebut akan meningkatkan daya kinematik dan magnitud impak.

Ini sekali gus memburukkan tahap kerosakan kenderaan dan serta kecederaan kepada penumpang.

Jelas laporan itu lagi, kelajuan operasi tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan had laju ditetapkan, sebaliknya perlu mengambil kira faktor kecerunan, jejari selekoh, jarak penglihatan terhad serta keupayaan brek kenderaan.

Dalam kes ini, gabungan faktor tersebut telah meningkatkan risiko kemalangan apabila pemandu gagal memperlahankan kenderaan ke tahap yang selamat sebelum memasuki kawasan berisiko tinggi.


#nahas bas UPSI #Kementerian Pengangkutan #kelajuan melebhi had #bas dipandu laju