Pakatan Rakyat mencadangkan sebuah majlis khas yang dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara ditubuhkan untuk mengelakkan ketirisan, pembaziran dan rasuah terus berlaku seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata majlis khas tersebut perlu ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang dilihat gagal menangani masalah ketirisan dan pembaziran di Kementerian dan Jabatan kerajaan.

"Setiap tahun kita akan terima laporan audit yang mendedahkan ketirisan dan pembaziran kementerian dan jabatan kerajaan.

"Rakyat sudah bosan dengan perkara ini, jadi kami (Pakatan Rakyat) cadangkan sebuah majlis khas yang dianggotai oleh tiga orang untuk memastikan perkara ini tidak terus berlaku," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Lim turut mencadangkan agar jawatankuasa khas atau majlis tiga anggota itu ditubuhkan bagi mengambil tindakan terhadap pegawai yang menyeleweng.

"Selain itu ia juga dapat memastikan reformasi yang lebih sistematik dapat diadakan dalam jabatan kerajaan.

"Kalau tidak ada tindakan tegas dilakukan, maka kita akan lihat lagi laporan salahguna dan ketirisan seperti yang didedahkan jabatan audit negara," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, PAC dikawal oleh kerajaan dengan jumlah anggota yang lebih memihak kepada Barisan Nasional ( BN ).

"Dengan struktur sekarang, orang tidak takut tidak ada kuasa menghukum.

"PAC hanya sediakan laporan sahaja, lepas seminggu orang lupa," katanya lagi.