Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) berkaitan perlombongan bauksit di daerah ini dijadual siap pada Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Nazri Ngah berkata laporan itu yang dijangka menelan belanja sebanyak RM1.1 juta akan merangkumi kawasan seluas 3,642.176 hektar.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang dilantik sebagai 'agensi utama' dalam isu berkaitan bauksit telah melantik sebuah firma perunding alam sekitar untuk penyediaan laporan EIA itu.

"Ini meliputi dalam menentukan tatacara pengendalian operasi serta pengangkutan keluar bauksit secara lestari untuk meminimakan kesan pencemaran alam sekitar dan kacau ganggu kepada penduduk sekitar,"

"Aktiviti perlombongan hanya akan dimulakan selepas laporan EIA diluluskan PKNP, yang akan memohon Lesen Melombong Tuanpunya daripada kerajaan negeri dan lesen import daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Nazri berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Datuk Md Shohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang ingin tahu rancangan kerajaan dalam isu bauksit.

Beliau menambah PKNP juga sedang meneliti kandungan perjanjian antara peneroka dengan pengusaha yang terlibat dalam usaha mahu menyelaras tindakan baik pulih tapak bauksit bagi tanah yang telah diusahakan.

Selain itu, Nazri memaklumkan kerajaan negeri juga telah merangka pelan memulihkan tanah yang terjejas dengan bauksit, termasuk bagi tujuan penanaman semula kelapa sawit atau tanaman lain yang sesuai.

Jawapan itu menyebabkan Shahril Azman Abd Halim (Pas-Jengka) bertanyakan teknologi yang akan digunakan selain perancangan untuk memastikan peneroka di Jengka tidak terjebak selepas terdapat ura-ura mengatakan bahan mineral itu ada di situ.

Nazri menjelaskan proses memulih tanah bauksit boleh dilakukan kerana pengambilan bauksit lazimnya hanya melibatkan kedalaman sehingga dua meter, namun kelihatan 'lebih dalam' ekoran keadaan tanah yang beralun.

"Kami telah putuskan bahawa PKNP sebagai agensi utama, jadi tidak boleh benarkan peneroka berurusan dengan pengusaha lombong. Saya anak peneroka dan Jengka (Shahril Azman) juga anak peneroka.

"Sama-sama kita beri nasihat supaya peneroka tidak terpengaruh dengan pengusaha lombong agar tidak menyesal seperti yang berlaku kepada segelintir peneroka yang tidak memperoleh hasil selepas sawit ditebang," katanya.

-- BERNAMA