Laporan Kajian Separuh Penggal RMK11 dedah kejayaan BN - Najib

Bernama
Oktober 20, 2018 08:40 MYT
Majoriti inisiatif yang dibentangkan dalam dokumen itu merupakan usaha yang dimulakan ketika era kerajaan BN, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. -Astro AWANI / Shahir Omar
Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan oleh kerajaan Khamis lepas mendedahkan kejayaan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata jika dilihat secara makro dan berfakta, majoriti inisiatif yang dibentangkan dalam dokumen itu merupakan usaha yang dimulakan ketika era kerajaan BN.
"Segala kejayaan dalam dokumen dibentangkan adalah termasuk pembangunan bagi mengimbangi antara wilayah, pembangunan menggunakan teknologi hijau dan penekanan kepada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Dokumen ini mengiyakan dan mengesahkan apa yang telah kita (kerajaan BN) lakukan atau perkatakan termasuk penguncupan hutang negara yang telah dapat dikurangkan," katanya.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Orang Asli Kampung Menchupu di sini, hari ini.
Beliau berkata ia jelas membuktikan BN memiliki program dan projek yang spesifik.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 #Najib Tun Razak #RMK11