Laporan keberkesanan pembinaan jalan turapan getah diketahui awal 2018 - Fadillah

Hafiz Marzukhi
Mac 15, 2017 06:07 MYT
FADILLAH: Antara kelebihan penggunaan CMA ialah dapat memberi rintangan lebih baik kepada kerosakan jalan serta mengurangkan kos penyelenggaraan. - Gambar fail
Laporan mengenai keberkesanan penggunaan teknologi pembinaan jalan berasaskan turapan getah hanya akan diketahui awal tahun depan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata laporan itu akan disediakan berpandukan kepada tiga lokasi projek perintis iaitu di Tampin, Negeri Sembilan, Baling, Kedah dan Lanchang, Pahang.
"Ia (laporan) akan disediakan pasukan penilai yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia.
"Berdasarkan pemerhatian awal, kami mendapati turapan jalan yang menggunakan CMA (Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan) di lokasi perintis itu menunjukkan tanda-tanda yang positif," jelas Fadillah.
Menurutnya lagi, antara kelebihan penggunaan CMA ialah dapat memberi rintangan lebih baik kepada kerosakan jalan serta mengurangkan kos penyelenggaraan.
"Untuk tempoh jangka panjang, pembinaan jalan menggunakan teknologi CMA mungkin lebih ekonomik kerana kos kitaran hayat jalan tersebut akan menjadi semakin lama," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Parlimen pada pagi tadi.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari Barisan Nasional Datin Mastura Mohd Yazid yang meminta JKR menyatakan tentang faedah dan kaedah serta kos perbandingan pembuatan jalan raya yang diguna pakai sekarang dengan jalan raya berasaskan getah yang mahu dilaksanakan.
#Fadillah Yusof #Getah #JKR #kerja raya #pembinaan jalan #turap