KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam dituduh di mahkamah, manakala 25 orang lagi dikenakan tindakan tatatertib susulan daripada 12 isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Tindakan itu dibuat selepas 12 isu berkenaan selesai menjalani proses siasatan setakat hari ini, iaitu separuh daripada keseluruhan 24 isu yang dibangkitkan dalam tujuh LKAN melibatkan audit di peringkat Persekutuan dan negeri sepanjang 2020 hingga 2021.

Beliau berkata 12 isu yang telah selesai itu melibatkan dua yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala 10 lagi melibatkan siasatan oleh jawatankuasa khas siasatan dan jawatankuasa siasatan dalaman yang diselaras Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Sejumlah 12 lagi isu yang masih dalam siasatan melibatkan lima oleh SPRM, enam oleh polis dan satu di pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

"Kesemua 24 isu ini meliputi pelbagai kementerian, agensi dan jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri yang dikategorikan sebagai isu punitif, melibatkan isu ketirisan, kehilangan wang awam dan pembaziran yang serius termasuk kelemahan dalam pengurusan kontrak; perolehan; program projek dan wang zakat selain ketidakpatuhan terhadap peraturan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Taiping) berhubung tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dalam menangani isu yang dibangkitkan dalam LKAN 2020 dan 2021 berkaitan ketirisan.

Beliau berkata beberapa syor dan cadangan tindakan yang dinyatakan dalam LKAN juga telah diambil perhatian oleh agensi berkaitan.

"Contohnya pada 2021, LKAN lapor duti kastam kurang kutip bagi tempoh 2015 hingga 2021 kerana tidak patuh syarat pemastautin pemilikan kenderaan dan kini Jabatan Kastam Diraja Malaysia dah tambah baik SOP (prosedur operasi standard) berkaitan menilai kriteria pemastautin.

"Selain itu, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dalam laporan penalti LKAN 2021 menyatakan perkhidmatan mencetak dokumen terkawal sebanyak RM149,178 tidak dikutip bagi tempoh 2019-2020 dan berdasarkan syor LKAN, JPJ dah kutip semula RM72,667 daripada jumlah itu, selain melakukan penguatkuasaan lebih ketat meliputi perjanjian dan terma berkaitan," katanya.

-- BERNAMA