Skip to main content

Malaysia

Laporan Khas: Realiti di sebalik Al-Arqam

Al-Arqam
Suhaib Ar Rumi (kiri) bersama Wartawan Astro Awani, Pia Ernadya. - Gambar Astro AWANI/ WAN MUSTAQIM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hujan renyai-renyai membasahi Bangi pada petang Isnin itu. Seolah-olah sengaja memperlahankan masa, memberi ruang kepada sebuah perbualan yang sarat dengan memori, trauma dan kisah-kisah yang sekian lama terpendam. 

Sebetulnya juga, hari itu benar-benar terasa berbeza buat saya. 

Berbeza daripada rutin saya sebagai wartawan - yang biasanya dikejar masa di tengah hiruk-pikuk sidang media, mencatat setiap bait kata, menyusun fakta sepantas mungkin untuk dihantar ke meja editorial. 

Namun petang itu, saya tidak berada di bawah limpahan lampu kamera atau dikelilingi bunyi papan kekunci yang tidak pernah berhenti. 

Sebaliknya, saya memilih untuk ke Bangi.

Duduk di sebuah kedai kopi sederhana, jauh dari kesibukan newsroom, saya hanya mendengar dan menulis. 

Menulis sebuah kisah yang tidak hadir dalam bentuk kenyataan rasmi, tetapi lahir daripada ingatan, pengalaman dan beban hidup seorang manusia.

Suhaib Ar Rumi (kiri) bersama Wartawan Astro Awani, Pia Ernadya- Foto Wan Mustaqim/Astro Awani

 

Di hadapan saya duduk Mohamad Suhaib Ar Rumi bin Mohamad. Beliau ialah anak kepada bekas pemimpin kanan Al-Arqam. 

Seorang lelaki yang suatu ketika dahulu berdiri hampir dengan lingkaran kepemimpinan gerakan yang pernah menggoncang landskap sosial negara itu.

Dengan berbaju polo dan bertubuh kecil, Suhaib tampak seperti individu biasa. Seseorang yang mudah hilang dalam keramaian, tanpa sebarang tanda bahawa kehidupannya pernah berputar dalam dunia yang penuh struktur, pengaruh dan kawalan. 

Namun seiring perbualan semakin mendalam, satu demi satu lapisan terbuka. Kesederhanaan yang terpamer di luar hanyalah permukaan. 

Di sebaliknya, tersembunyi sebuah perjalanan hidup yang jauh lebih kompleks, jauh lebih berliku - dan dalam diam, sarat dengan kesan yang tidak mudah dipadam. 

Menjadi Suhaib bukan sekadar tentang siapa dirinya hari ini. Ia adalah hasil daripada sebuah pembentukan yang bermula sejak awal usia. 

Dibentuk oleh sistem, diasuh dengan disiplin tersendiri dan dibesarkan dalam sebuah dunia yang telah lama tersusun sebelum dia sempat memahami pilihan. 

Sebuah dunia yang tidak pernah benar-benar memberi ruang untuk bertanya. 

Dan hari ini, sedikit demi sedikit, dia mula membuka cerita. 

Kehidupan seperti biasa

“Setiap hari sebelum Subuh, kami memang dibiasakan bangun untuk tahajud… lepas itu zikir, selawat, kemudian solat berjemaah.” 

Itulah antara cebisan ingatan paling awal yang dikongsi Suhaib: satu rutin yang, bagi sebahagian besar kanak-kanak, mungkin asing. 

Namun, bagi dirinya, itu adalah kehidupan. Itu adalah “biasa”. Di rumah, disiplin bukan sekadar aturan. Ia adalah nadi yang menggerakkan hari-hari mereka.

Malam tidak pernah benar-benar berakhir seperti kebanyakan keluarga lain dan pagi pula tidak pernah menunggu.

Ia bermula lebih awal.Dalam suasana yang sunyi, teratur dan berulang. 

Segala-galanya disusun rapi, dibingkai sebagai satu perjalanan rohani yang seolah-olah tidak pernah terputus.

Dari luar, ia terlihat sempurna. Namun di sebalik keteraturan yang hampir tanpa cela itu, ada ruang-ruang yang perlahan-lahan membentuk tanda tanya yang hanya mula difahami apabila usia semakin meningkat. Salah satunya tentang ketiadaan seorang ayah. 

Mohamad Bin Abu Bakar (Ayah Suhaib)- Foto Suhaib Ar Rumi

 

“Waktu kecil, saya tak faham kenapa ayah sibuk… jarang ada dengan saya," nada suaranya tenang, namun terselit sesuatu yang tidak mudah diterjemahkan. 

Ketika itu, ayahnya memegang peranan penting dalam gerakan mengurus portfolio penerangan dan pemasaran, terlibat secara langsung dalam menggerakkan operasi ekonomi serta program dakwah yang berkembang pesat pada era tersebut. Masanya bukan milik keluarga sepenuhnya. 

Sebahagian besar hidupnya dihabiskan di luar dalam usaha membina sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri. Hanya apabila dewasa, Suhaib mula melihat gambaran yang lebih luas. 

“Saya nampak sendiri macam mana ekonomi di bawah Al-Arqam berkembang… macam mana mereka bina sistem sendiri.” 

Dalam ingatannya, gerakan itu tidak sekadar membawa pendekatan dakwah. Ia membentuk satu ekosistem. 

Sebuah dunia yang lengkap dengan aturan sendiri. Dari cara hidup, pendidikan, hingga kepada jaringan ekonomi yang berdiri hampir secara mandiri. 

Dan pada ketika itu, segalanya terasa normal. Tidak janggal. Tidak dipersoalkan. Sehinggalah satu hari, semuanya mula berubah. Pengharaman Al-Arqam menjadi titik pemisah. 

Diikuti pula dengan pemergian pemimpin utamanya, Ustaz Ashaari Muhammad atau “Abuya” yang selama ini menjadi pusat graviti kepada seluruh gerakan.

Sejak itu, dunia yang pernah tersusun rapi mula menunjukkan rekahan. Struktur yang dikenali perlahan-lahan berubah wajah. 

Dan bagi Suhaib, perubahan itu bukan sekadar sejarah. Ia adalah titik mula kepada persoalan-persoalan yang sebelum ini tidak pernah diberi ruang.

Pasca era Abuya

Selepas pemergian Abuya, ruang yang ditinggalkan tidak pernah benar-benar kosong. Ia segera diisi. 

Tokoh-tokoh baharu muncul mengambil tempat - membawa bersama pendekatan, tafsiran dan arah yang semakin berbeza daripada apa yang pernah dikenali oleh Suhaib sejak kecil.

Dan perlahan-lahan, sesuatu mula berubah. Bukan secara mendadak. Tidak juga secara terbuka. Tetapi cukup halus untuk meresap dan cukup konsisten untuk membentuk norma baharu.

Mohamad (belakang kanan) bersama Abuya dan isterinya, Khatijah Am (Umu Jah)- Foto Suhaib Ar Rumi

 

“Program macam ‘Power Kaabah’, ‘Era Seks Suci Islam’ mula keluar… benda tu saya tidak pernah dengar sebelum ni," nada suaranya sederhana, namun jelas menggambarkan kekeliruan yang dipendam sekian lama. 

Perubahan itu bukan sekadar soal nama program. Ia mencerminkan satu pergeseran yang lebih dalam - pada cara berfikir, pada tafsiran dan pada batas-batas yang sebelum ini tidak pernah dilangkaui. 

Menurut Suhaib, semua ini tidak pernah dibentangkan untuk dipersoalkan secara terbuka. Sebaliknya, ia berkembang dalam ruang yang tertutup - melalui ceramah dalaman, perkongsian sesama ahli dan budaya kepatuhan yang menuntut kepercayaan tanpa banyak soal. 

Dalam suasana itulah, satu demi satu konsep baharu diperkenalkan.

Antaranya, “yaqazah” - dakwaan menerima arahan secara langsung daripada Rasulullah SAW. 

Di sinilah, kata Suhaib, garis antara keyakinan dan manipulasi mula menjadi kabur. Bukan serta-merta, tetapi perlahan-lahan. Hampir tidak disedari - sehinggalah ia sudah terlalu dalam untuk dipersoalkan. 

Namun, pada ketika itu, Suhaib tidak terus berpaling. Dia memilih untuk kekal. Dia memerhati, menilai dan memahami dengan caranya sendiri. 

“Saya jenis orang yang nak tengok sendiri dulu… baru saya yakin," sifat itu membentuk cara dia berdepan dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Tentang yaqazah, pendiriannya jelas. 

"Pasal yaqazah pun saya sendiri tak pernah dengar daripada arwah Ustaz Ashaari.” 

Apa yang diketahuinya bukan daripada sumber asal, tetapi daripada dalam kalangan kepimpinan sendiri - sesuatu yang, bagi Suhaib, mencetuskan lebih banyak persoalan daripada jawapan. 

“Saya dengar pasal ini pun daripada sumber luar, bukan daripada mulut Ustaz Ashaari sendiri… tapi daripada kepimpinan Al-Arqam.

“Saya jenis individu yang pentingkan maklumat itu datang daripada orang tersebut sendiri - barulah saya boleh nilai dan yakin dengan apa yang saya nampak. Semua ini berlaku selepas salah seorang balu arwah mengambil alih kepimpinan.” 

Namun, masa tidak pernah statik. Semakin lama dia berada dalam sistem itu, semakin jelas perubahan yang berlaku. 

Perkara yang dahulu diterima tanpa soal, kini mula terasa janggal. Yang dulunya dianggap biasa, kini mula menimbulkan keraguan dalam kotak fikirannya. Dan tanpa disedari, benih persoalan itu mula bercambah. 

Semakin hari, semakin sukar untuk dipadam. Kerana bagi Suhaib, ini bukan lagi soal struktur atau kepimpinan – tetapi soal pegangan dan kepercayaan. Dan soal garis halus antara kebenaran yang diyakini - dan apa yang sebenarnya sedang berlaku di sebalik tabir. 

Janggut pemimpin diamil sebagai keberkatan

Antara perkara yang paling meresahkan Suhaib bukan sekadar perubahan struktur, tetapi bagaimana makna “keberkatan” itu sendiri mula berubah bentuk.

Daripada sesuatu yang sederhana, kemudian beralih menjadi sesuatu yang sukar untuk diterima akal.

Antara perkara yang paling meresahkan Suhaib bukan sekadar perubahan struktur, tetapi bagaimana makna “keberkatan” itu sendiri mula berubah bentuk.

Daripada sesuatu yang sederhana, kemudian beralih menjadi sesuatu yang sukar untuk diterima akal.

Air ‘berkat’ yang kononnya digunakan untuk keberkatan- Foto Suhaib Ar Rumi

 

“Tiga zaman… zaman Al-Arqam, Rufaqa dan permulaan pembentukan GISB, saya tak pernah dengar pasal ambil janggut pemimpin untuk selamat dunia akhirat.” 

Ungkapan itu diluahkan tanpa emosi berlebihan tetapi cukup untuk menggambarkan garis perubahan yang semakin ketara. 

Pada peringkat awal, jika ada amalan berkaitan “air penawar” sekalipun, ia masih dalam lingkungan yang biasa seperti bacaan Yasin, tahlil, atau doa-doa yang lazim diamalkan dalam masyarakat Islam. 

Namun, dari satu fasa ke satu fasa, sesuatu mula berganjak. Perubahannya tidak drastik, tidak memaksa. 

Sebaliknya, ia meresap perlahan-lahan. “Mula-mula air berkat… lepas itu mula masuk elemen janggut kepimpinan.” Perkara yang pada awalnya mungkin kelihatan kecil akhirnya membuka ruang kepada sesuatu yang jauh lebih sukar diterima.

 Lebih mengejutkan, Suhaib mendakwa pernah menyaksikan sendiri penggunaan tisu yang dikaitkan dengan darah bekam individu tertentu dalam kepimpinan. “Saya sendiri pernah tengok tisu daripada darah bekam… waktu itu saya rasa benda ini dah terlalu jauh.” Di situlah, kata Suhaib, sempadan itu mula jelas bagi dirinya.

Apa yang dahulunya hanya terasa janggal, kini menjadi sukar untuk dinafikan. Namun, seperti banyak perkara lain dalam sistem itu, perubahan ini tidak datang dengan kejutan besar. Ia tidak menggegarkan, sebaliknya, ia membentuk toleransi. “Bila benda pelik dibuat lama-lama… orang dah tak rasa pelik,” ayat itu ringkas namun sarat menyimpan maksud. 

Tetapi cukup untuk merumuskan bagaimana sesuatu yang luar biasa akhirnya boleh dinormalkan hanya kerana ia berlaku berulang kali, tanpa ruang untuk dipersoalkan.

“Isteri saya hilang dua minggu" 

Namun bagi Suhaib, titik paling genting dalam perjalanannya bukan sekadar soal amalan atau pegangan. Ia menjadi peribadi, terlalu peribadi. 

“Isteri saya dibawa keluar tanpa izin saya… dua minggu saya tak dapat hubungi dia," nada suaranya berubah, lebih berat. Lebih senyap. 

Menurutnya, isterinya dibawa ke sebuah lokasi terpencil atas alasan menjalani proses “pemulihan”. Dua minggu tanpa berita, tanpa komunikasi - satu tempoh yang, bagi Suhaib, cukup untuk meruntuhkan apa sahaja rasa selamat yang masih berbaki. 

Apabila akhirnya dia berjaya menjejaki lokasi tersebut, apa yang dilihat bukan sekadar mengejutkan.Ia merubah sepenuhnya cara dia memahami sistem itu. 

“Di situ saya nampak… bila orang mula ragu, dia akan dibawa masuk balik, dipujuk dan dibentuk semula.” 

Bukan sahaja kepercayaan diuji, tetapi juga kebebasan individu. Suhaib turut mendakwa menyaksikan bagaimana isu rumah tangga pasangan dibincangkan secara terbuka di hadapan puluhan orang – tanpa belas, tanpa rasa bersalah dan tanpa batas! 

“Masalah suami isteri pun dibincang depan ramai… di situ saya rasa benda ini dah terlalu jauh,” jauh renungan Suhaib ketika berkongsi cerita ini. 

Di situlah, menurutnya, garis yang selama ini kabur akhirnya menjadi jelas. 

Sebagai seorang anak yang membesar dalam dunia yang suatu ketika dahulu tampak tersusun, teratur dan berdisiplin, Suhaib akhirnya menyaksikan sendiri bagaimana sebuah sistem boleh berubah...

Bukan secara mendadak, tetapi melalui proses yang perlahan dan hampir tidak disedari oleh mereka yang masih berada di dalamnya. 

Perubahan itu tidak datang dengan dentuman. Tidak juga dengan pengumuman. Ia bergerak senyap: menyusup ke dalam bahasa, budaya dan cara berfikir, sehingga yang ganjil menjadi biasa dan yang biasa mula hilang maknanya. 

Dan apabila segala-galanya akhirnya tersingkap di hadapan mata, hanya satu kesedaran yang tinggal.

 “Bila kita dah nampak sendiri… baru kita sedar, ini bukan benda kecil.”

Saksikan Laporan khas: Realiti di sebalik Al Arqam pada Rabu-Jumaat ini di Astro Awani 7:45.

Must Watch Video

Advertisement