PELABUHAN KLANG: Ketika negara sedang rancak bergelut memerangi fenomena perubahan iklim, wujud pula sesetengah individu yang dangkal pemikirannya apabila rakus menggondol keindahan alam sekitar.

Setiap kali adanya tanah lapang, pastinya hadir tindakan yang tidak bertanggungjawab menjadikan ia sebagai lubuk kepada lembangan sampah yang mencacatkan pemandangan asal.

Hasutan di fikiran yang hanya memikirkan soal untung yang berlebihan maka si pencabul alam sekitar langsung tidak mengambil kira faktor kesan jangka panjang terhadap kawasan terlibat dan mengheret ramai mangsa yang menerima padahnya.

Jika melihat kepada keadaan asal di salah satu kawasan di sekitar Pelabuhan Klang ini, paparan di ‘Google Earth’ dengan jelas menunjukkan kehijauan lokasi itu yang turut menempatkan sebuah jeti kecil.

 
 Aduan sudah sering dibuat manakala, tindakan menyusul sekadar menaikkan papan tanda dan garisan kuning memaklumkan dilarang masuk ke tanah kerajaan. – Gambar Astro AWANI

Dahulunya mungkin meriah dan menjadi hentian nelayan tempatan hampir setiap hari yang sibuk mencari rezeki dalam memastikan perut ahli keluarga mereka terisi dengan apa rezeki yang ada.

Jika melihatat kepada keadaan terkini kawasan tersebut, semuanya mungkin hanya tinggal sejarah kerana segala keindahan yang ada sebelum ini telah dirampas oleh pemusnah alam sekitar.

Elemen kehijauan semakin menghilang, sebaliknya yang ada kini hanya timbunan sampah, tong kimia, serta pelbagai jenis kabel industri yang berselirat di sebahagian besar kawasan tersebut.

Lebih memeranjatkan, kawasan tanah lapang itu juga hampir keseluruhannya ditimbuni dengan sisa kabel yang telah dikisar.

Malang sekali kerana lokasi ini menjadi pilihan si pencabul untuk menjalankan aktiviti kemusnahan.
 
Apabila bercakap mengenai kewujudan sebuah jeti, pastinya ada aliran sungai yang dahulunya menjadi laluan nelayan tempatan mencari rezeki.

Melihat kepada kesannya ketika ini, pastinya golongan nelayan terperangkap di dalam kebuntuan kerana memikirkan apa hasil yang mampu diperolehi daripada sungai yang semakin mula tercemar.

 Melihat sampah-sarap begini, apakah hidupan laut boleh hidup? – Gambar Astro AWANI

Kehidupan laut mula terjejas kerana ikan-ikan juga umpama dirampas keindahan habitatnya yang kini hanya mungkin berenang bertemankan sampah dan sisa toksik yang disumbang dari kawasan industri.

Keadaan jeti pula seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ kerana apa yang ada ketika ini hanya jeti usang dan papan sekeping dua yang semakin mereput.

Mungkin keadaan jeti itu juga memberi bayangan kepada nasib golongan nelayan yang telah rapuh hatinya selain kecewa melihat lubuk mereka mencari rezeki.

Manakan tidak, setiap kali keluar untuk mencari rezeki, timbul keraguan berhubung hasil laut yang ditangkap mungkin tidak sesegar seperti dahulu kerana ikan yang ada pun masih untung jika masih mampu bertahan di dalam sungai tercemar.

Akibatnya, nelayan sendiri terpaksa bergolok bergadai dalam menzari rezeki apabila sisa kilang dari tapak haram ini secara deras mengalir ke sungai.

Aduan ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’

Kunjungan krew Astro AWANI ke kawasan ini juga menerima kesan yang agak pantas apabila permukaan kulit sudah mula merenyam kegatalan sepanjang berada di kawasan sekitar yang tidak dapat dipastikan isi kandungan sebenar terhadap permukaan yang dipijak.

Bukan ingin mencari kesalahan, tetapi tindakan yang ada cuma papan tanda dilarang masuk dan garisan kuning milik Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Aduan katanya sudah puas diajukan namun usaha untuk menyelamatkan alam sekitar itu tidak ubah seperti ‘mencurah air ke daun keladi’.

Kekecewaan itu disuarakan oleh salah seorang pengadu yang ditemui, Mohd Hanif James Abdullah yang mungkin sudah penat gara-gara janji manis.

“Belum ada apa-apa tindakan yang saya nampak sejak saya mula buat laporan kepada pihak berkuasa. Cuma yang nampak mereka letak papan tanda dan garisan kuning dilarang masuk ke tanah kerajaan ini.

“Mereka (pihak berkuasa) memang terima aduan saya, tetapi setiap kali kita tanya mereka janjikan akan datang kawasan ini tapi sampai sekarang saya lihat masih belum ada sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Mohd Hanif James Abdullah sudah penat dengan janji manis ditaburi pihak berkuasa.

Kami turut mendekati salah seorang nelayan tempatan di kawasan ini, Azman Ahmad Tamil yang tidak pernah menyangka kawasan itu akan bertukar sedemikian rupa.

Apa yang membimbangkan pihaknya adalah kandungan bahan sisa buangan yang tidak diketahui dengan jelas serta risiko terhadap penduduk sekitar.

Menurut Azman juga, wujud seseorang individu yang mendakwa pihaknya mempunya ‘lesen besar’ untuk meneruskan aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

“Saya ingat dia (pelaku) hanya tambak tanah, rupanya bila kita masuk semua sampah sarap dengan bahan kimia jadi kita bimbang apa lagi yang ada bawah timbunan tanah yang kita tak tahu.

“Sekarang memang susah nak cari rezeki, dulu kawasan ini memang cantik tetapi sekarang tempat ini pun dah mula panas.

“Punca pendapatan memang menurun kerana pencemaran air dah mula teruk. Kalau dulu memang ada ikan, udang di kawasan jeti ini… sekarang nak cari lauk pun susah lah untuk makan.

“Saya amat berharap kepada pihak yang terlibat, turunlah padang tengok isu ini dan buat tindakan yang proaktif untuk bantu nasib-nasib nelayan,” luahnya kepada Astro AWANI.

Mohd Hanif James Abdullah (kanan) dan Azman Ahmad Tamil. – Gambar Asto AWANI

Melihat kepada perkembangan semasa, negara juga sedang dilanda El Nino, cuaca panas yang tidak menentu berkemungkinan boleh menyebabkan kawasan ini terjebak dengan kebakaran apatah lagi bahan-bahan yang ada di sini sememangnya mudah untuk terbakar.

Keadaan itu bukanlah perkara yang mustahil kerana lokasi ini juga pernah didatangi oleh pasukan bomba berikutan risiko yang telah diperkatakan penduduk setempat.

Permasalahan itu katanya sudah terlalu lama berlarutan dan ia telah mengundang pelbagai persoalan mengapa terlalu lama untuk pihak terlibat tampil dengan tindakan yang tuntas.

Timbul persoalan sama ada wujudkah kekebalan pihak tertentu menyebabkan si pelaku terlalu kalis dengan tindakan undang-undang.

Astro AWANI akan cuba mendapatkan reaksi pihak yang berkenaan bagi menjawab segala isu yang telah dibangkitkan sekian lama ini.