Laporan MA63: "Tunggu mesyuarat dulu, baru komen" - Abang Jo

Astro Awani
September 5, 2019 06:41 MYT
Datuk Patinggi Abang Johari tidak mahu ulas panjang mengenai Laporan Akhir Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu menunggu sehingga pembentangan dibuat sebelum mengulas mengenai Laporan Akhir Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Tunggulah, kita lagi ada mesyuarat, ni komenlah, terima kasih" kata Abang Johari ringkas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam kenyataan medianya pada Khamis memaklumkan laporan berkenaan telah disiapkan Pasukan Petugas Khas (Taskforce MA63) pada 31 Ogos lepas.
Ia dijangka dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet sebulan dari sekarang.
Jelas Vui Keong laporan berkenaan telah dimajukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ia turut diedarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Pemandu untuk tujuan semakan.
9 April lalu kerajaan pusat gagal meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63.
Daripada 221 ahli parlimen dengan kerusi Parlimen Sandakan yang masih kosong 138 mengundi bersetuju manakala 59 lagi tidak mengundi.
#Abang Johari #kabinet #Ketua Menteri #MA63 #Mahathir Mohamad #Malaysia #Mohd Shafie Apdal #Perdana Menteri #Perjanjian Malaysia 1963 #Sarawak #Shafie Apdal