Polis diminta menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab mewujudkan isu kad identiti Bangsa Johor.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor, Ahmad 'Asri Khalbi berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu malam tadi selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp tentang kad tersebut.

"Kandungan WhatsApp itu memaparkan gambar depan dan belakang kad identiti Bangsa Johor yang dikatakan kad pengenalan Bangsa Johor.

"Turut diterima ialah gambar borang permohonan kad berserta syarat-syarat permohonan dan notis perkhidmatan serta kelebihan kad identiti Bangsa Johor," katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad 'Asri berkata beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengarahkannya membuat laporan polis itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis tersebut.

"Kes berkenaan masih dalam siasatan untuk mengesan pihak yang terlibat," katanya.

Dalam satu kenyatan malam tadi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani berkata kerajaan Johor mahupun jabatan di bawahnya tidak pernah mengeluarkan kad identiti Bangsa Johor seperti yang ditularkan dalam media sosial.

"Penggunaan identiti Johor bagi tujuan sedemikian rupa tanpa merujuk kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri adalah dilarang sama sekali," katanya.

Terdahulu, satu akaun Twitter yang menampilkan pengguna lelaki memberi maklumat dan gambar mengajak rakyat Johor yang belum mendapatkan kad itu agar berbuat demikian pada kadar segera, menjadi tular.

Pada kad itu turut dipaparkan nombor kad pengenalan Malaysia dengan di bawahnya tertera nombor Identiti Bangsa Johor, selain kad berkenaan kononnya boleh diguna sebagai kad debit untuk tujuan beli-belah.

-- BERNAMA