Laporan polis NUBE: Steven Sim sedia beri keterangan, kerjasama penuh 

Dewi Nur Harasha Alias
April 21, 2024 07:42 MYT
Steven ketika bertemu pengamal media pada majlis penyampaian caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada anggota Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam di Wisma Perkeso Seberang Jaya hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Menteri Sumber Manusia Steven Sim akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis susulan laporan dibuat Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) terhadap dirinya berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Beliau berkata, setakat ini, pihak polis masih belum mengambil keterangannya dan bersedia jika dipanggil.
Tambah Steven, dakwaan tersebut tidak berasas, namun katanya NUBE mempunyai hak untuk membuat laporan polis .
"Saya sudah sebut tidak ingin berikan komen terhadap isu ini, isu ini telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, jadi biar mahkamah yang tentukan dari segi keadilan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 218 anggota Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam di pejabat Perkeso Seberang Jaya pada Ahad.
Sebelum ini dilaporkan, lima cawangan NUBE bertindak membuat laporan polis terhadap Steven.
Kesatuan itu dalam kenyataan berkata, laporan itu dibuat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan mendakwa Steven secara rahsia berbincang dengan Persatuan Bank-Bank Komersial Malaysia (MCBA) tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan dengan pembayaran Bantuan Perayaan untuk tahun ini.
Dakwa mereka, akibat tindakan itu, kira-kira 15,000 pekerja bank dalam kategori B40 dan M40 mengalami kerugian kerana dinafikan haknya.
#laporan polis #Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank #Steven Sim #NUBE #pekerja bank