NATIONAL
Polis nafi penemuan mayat di PJ terkait kes kehilangan Pamela Ling

Hussein menegaskan, laporan bertajuk Police Interview Pamela Ling's Children and Family Friend in Death Investigation yang disiarkan portal berkenaan juga adalah palsu. - Foto fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan berhubung penemuan mayat di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor yang dikaitkan dengan kehilangan Datin Seri Pamela Ling, seperti dilaporkan portal The Rakyat Post pada Isnin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menegaskan, laporan bertajuk Police Interview Pamela Ling's Children and Family Friend in Death Investigation yang disiarkan portal berkenaan juga adalah palsu.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein turut mengingatkan penyebaran berita palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.Sementara itu, semakan Astro AWANI mendapati laporan asal tersebut sudah diturunkan daripada portal terbabit.
Pamela Ling, yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu, kali terakhir dikesan ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Wanita berusia 42 tahun itu dijadualkan memberi keterangan untuk kali kesembilan pada hari kejadian.
Polis sebelum ini memaklumkan siasatan turut meneliti kemungkinan penglibatan suami mangsa dalam kes kehilangan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami