MALAYSIA

Laporan Tahunan JKMR 2024 dibentang kepada PM Anwar

Bernama 01/12/2025 | 12:00 MYT
Ahli JKMR merangkap wakil rakyat yang mewakili suara masyarakat, sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam dalam meningkatkan keberkesanan SPRM melaksanakan mandatnya. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKMR) hari ini membentangkan dan menyerahkan Laporan Tahunan JKMR Tahun 2024 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • JKMR menyerahkan Laporan Tahunan 2024 kepada PM Anwar Ibrahim, memenuhi tanggungjawab berdasarkan Akta SPRM 2009.
  • Laporan merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah, dan cadangan untuk memperkukuh SPRM secara holistik.
  • JKMR menggalakkan rakyat beri pandangan untuk meningkatkan keberkesanan SPRM dan integriti pentadbiran awam.


Ia selaras dengan tanggungjawab mengikut peruntukkan di bawah Seksyen 14 Akta SuruhanjayaPencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), iaitu menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di negara ini.

Pembentangan berkenaan merangkumi penelitian JKMR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meliputi aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pengurusan serta dapatan pemeriksaan daripada ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah bagi 2024.

"JKMR turut mengemukakan syor-syor kepada Perdana Menteri berkaitan usaha memperkukuh keberkesanan SPRM secara menyeluruh dan holistik, selaras dengan usaha negara membanteras rasuah dan memantapkan integriti pentadbiran awam termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah.

"JKMR menzahirkan harapan agar setiap cadangan yang dikemukakan dalam laporan ini diberi pertimbangan sewajarnya dan diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak serta menyeluruhdemi kepentingan negara," menurut JKMR dalam kenyataan hari ini.

Ahli JKMR merangkap wakil rakyat yang mewakili suara masyarakat, sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam dalam meningkatkan keberkesanan SPRM melaksanakan mandatnya.

Orang ramai boleh berbuat sedemikian dengan mengemukakan pandangan atau cadangan melalui e-mel jkmr@sprm.gov.my.

-- BERNAMA


#SPRM #integriti #orang awam #JKMR