GADGETS

AS larang jualan cip NVIDIA B30A ke China, saham susut hampir 4%

Amanz 07/11/2025 | 06:00 MYT
NVIDIA B30A ialah cip versi kurang berkuasa daripada Blackwell B300, dibangunkan khusus untuk pasaran China bagi mematuhi sekatan eksport sedia ada. Namun, arahan baharu ini menyekat sepenuhnya penjualannya. -Foto Amanz
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilapor secara rasmi menghalang jualan cip kecerdasan buatan (AI) NVIDIA B30A kepada China.


Ringkasan AI
  • AS menghalang jualan cip kecerdasan buatan NVIDIA B30A kepada China, mematuhi arahan White House untuk tidak meluluskan lesen eksport cip tersebut.
  • Presiden Donald Trump menegaskan cip dari keluarga Blackwell khusus untuk kegunaan syarikat AS sahaja, menyebabkan jualan cip NVIDIA di China merosot kepada sifar berbanding 90% pada tahun sebelumnya.
  • Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, menyatakan China berpotensi memenangi perlumbaan AI disebabkan subsidi tenaga dan kurangnya kawalan peraturan, sementara saham NVIDIA merosot hampir 4% susulan laporan larangan jualan cip tersebut.


Menurut laporan Reuters dan The Information, White House telah mengarahkan beberapa agensi persekutuan untuk tidak meluluskan lesen eksport cip tersebut.

NVIDIA B30A ialah cip versi kurang berkuasa daripada Blackwell B300, dibangunkan khusus untuk pasaran China bagi mematuhi sekatan eksport sedia ada. Namun, arahan baharu ini menyekat sepenuhnya penjualannya.

Awal minggu ini, Presiden Donald Trump berkata cip dalam keluarga Blackwell tidak akan dijual kepada mana-mana negara luar, termasuk China.

Beliau menyatakan bahawa cip paling canggih itu hanya untuk kegunaan syarikat AS sahaja.

China telah menjangkakan larangan ini dan sejak beberapa bulan lalu telah mengarahkan syarikat tempatan untuk berhenti membeli cip NVIDIA.

Akibatnya, jualan cip NVIDIA di China kini jatuh kepada sifar, berbanding 90% pegangan pasaran tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, berkata China berpotensi memenangi perlumbaan AI kerana subsidi tenaga dan kurangnya kawalan peraturan.

Beliau turut menyatakan bahawa China hanya nanodetik di belakang Amerika dalam pembangunan AI.

Susulan laporan larangan ini, saham NVIDIA susut hampir 4%, menjadikan nilai pasaran syarikat jatuh daripada $5 trilion kepada sekitar $4.8 trilion. -Amanz



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah cip yang Amerika Syarikat (AS) menghalang jualannya kepada China?
    A: NVIDIA B30A, versi kurang berkuasa daripada Blackwell B300.
  • Q: Mengapakah White House mengarahkan agensi persekutuan untuk tidak meluluskan lesen eksport cip NVIDIA B30A kepada China?
    A: Kerana cip dalam keluarga Blackwell tidak akan dijual kepada mana-mana negara luar, termasuk China, seperti yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.
  • Q: Bagaimanakah larangan jualan cip NVIDIA di China telah memberi kesan kepada pasaran syarikat itu?
    A: Jualan cip NVIDIA di China kini jatuh kepada sifar daripada 90% pegangan pasaran tahun lalu, dan nilai pasaran syarikat turut susut hampir 4%.



#White House #Donald Trump #NVIDIA B30A #China