Larangan guru enggan divaksin ikuti PdP bersemuka demi keselamatan pelajar - Radzi

Azizah Alwi
Oktober 26, 2021 07:45 MYT
Radzi Md Jidin (kiri) meninjau aktiviti Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Samariang, ketika melawat makmal sains pada lawatan beliau ke sekolah tersebut hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Kementerian Pendidikan tidak mempunyai pilihan lain untuk menukar atau tidak membenarkan guru yang enggan divaksin daripada terlibat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu diambil KPM bagi melindungi keselamatan ruang sekolah terutama sekali para pelajar.
"Kita punya prinsip asas adalah guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka.Itu prinsip asas.
"Maknanya kalau tidak divaksin tak boleh mengajar,” ujarnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke SMK Bandar Baru Samariang hari ini.
Susulan daripada keputusan itu, Radzi menambah, KPM akan terus memantau dan melihat kesan pengoperasian sekolah sekali gus akan melaksanakan pertukaran guru dengan segera.
"Sebagai contoh guru-guru yang mengajar murid berkeperluan khas ini biasanya harus berdamping dengan murid-murid secara fizikal dan sekiranya guru tidak divaksin ia akan menganggu proses pembelajaran dan keselamatan murid-murid berkeperluan khas," ujarnya.
Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.
#guru enggan vaksin #keselamatan pelajar #Radzi Jidin #PdP bersemuka