MALAYSIA

Larangan pembelian RON95 kenderaan asing: MPPN sokong usaha KPDN, langkah telus

Khalis Khadir 29/01/2026 | 13:16 MYT
MPPN berpendapat, keputusan ini dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak layak, sekali gus membantu kerajaan mengawal beban fiskal yang mungkin menjejaskan kepentingan pengguna domestik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen minyak adalah langkah tepat.

Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd Khair Ngadiron, ia bagi memastikan subsidi petrol RON95 disalurkan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia serta mengelak ketirisan dan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak.

"Penguatkuasaannya penting agar subsidi kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna. Usaha memperkukuh kawalan terhadap subsidi petrol merupakan langkah strategik untuk menangani ketirisan sumber awam serta memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron


Katanya, MPPN turut mengambil maklum penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A hanya membabitkan larangan terhadap penjualan petrol di stesen minyak, tanpa menekankan larangan terhadap pembelian.

"Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 dilihat sebagai langkah wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan. Peraturan baharu ini bukan sahaja melarang penjualan tetapi juga pembelian petrol RON95 oleh kenderaan asing.

"Keputusan ini dijangka dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak layak, sekali gus membantu kerajaan mengawal beban fiskal yang mungkin menjejaskan kepentingan pengguna domestik," ujarnya.

Menurut beliau, langkah ini juga dilihat sebagai usaha untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan dengan pengawasan yang lebih ketat terhadap transaksi petrol di stesen minyak.

Dalam kenyataan sama, MPPN menegaskan komitmennya sebagai badan penasihat utama kerajaan dalam hal ehwal pengguna.

“MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan. Kami turut menggalakkan semua pihak, termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.


#subsidi petrol #RON95 #kenderaan asing #MPPN