Larangan rentas daerah, negeri di seluruh negara 10 Mei sehingga 6 Jun

Astro Awani
Mei 8, 2021 12:33 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, arahan itu akan berkuat kuasa mulai 10 Mei sehingga 6 Jun 2021. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara adalah tidak dibenarkan mulai 10 Mei sehingga 6 Jun 2021, umum Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, mereka yang perlu merentas daerah atas faktor kerja, tidak memerlukan permit atau kebenaran PDRM, sebaliknya memadai dengan mengemukakan surat pengesahan syarikat.
Beliau berkata, selain itu terdapat beberapa aktiviti lain yang tidak dibenarkan dalam tempoh tersebut dalam usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.
"Ia merangkumi aktiviti sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan, atau kesesakan awam.
"Selain itu, aktiviti rasmi, sosial dan bersemuka oleh kerajaan dan swasta, adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, ujarnya keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu.
#ismail sabri yaakob #PDRM #Polis Diraja Malaysia #perhimpunan #pendidikan #kerajaan #ekonomi #polis #rentas negeri #Larangan rentas negeri #Sekatan Jalan Raya