KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai dobi ditahan apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan di Lebuhraya Penchala Link selepas melarikan diri sejauh 10 kilometer (km) daripada sekatan jalan raya.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 3.48 pagi, pada Jumaat.

"Suspek dipercayai melarikan diri kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan memiliki peralatan pecah rumah.

"Suspek yang memandu Proton Waja bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan lokasi di Persiaran Surian, Kota Damansara," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, pasukan kereta peronda polis (MPV) mengejar suspek selama 20 minit sebelum kereta dipandu terbabas melanggar pembahagi jalan.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 26 tahun didapati positif dadah jenis syabu dan polis turut menemui peralatan untuk pecah rumah dalam kenderaannya.

"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan(menghalang penjawat awam) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03 7966222.