BACHOK:Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bachok, hari ini, atas pertuduhan melastik seorang warga emas sehingga mendatangkan kecederaan, Khamis lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohammad Roslan Abdullah, 18 tahun, dan Muhammad Aziman Peli, 25 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wan Bidah Wan Deraman, 67 tahun, dengan cara melastik pada bahagian tangan kirinya.

Kesalahan itu dilakukan oleh kedua-dua tertuduh di persimpangan jalan di Kampung Banggol Pauh kira-kira pukul 8.10 malam pada Khamis minggu lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Dinie Shazwan memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat hadir ke rumah keluarga Muhammad Roslan bagi melengkapkan laporan sosial.

Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini, tular di media sosial, video seorang warga emas dibuli oleh sekumpulan lelaki menyebabkan warga emas itu terpaksa melarikan diri.

Polis kemudian menahan empat remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes buli tersebut selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada Jumaat lalu.