Kerajaan menyasarkan tumpuan sistem pendidikan di Malaysia diberikan kepada sektor teknikal dan vokasional dalam usaha menjadi negara ini sebagai negara industri.

Justeru, modal insan dan tenaga kerja muda perlu dipersiapkan dengan kemahiran serta bakat baharu dalam bidang teknologi terkini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sistem pendidikan yang diwujudkan sebelum ini kurang memberi perhatian kepada teknikal atau subjek vokasional, dan menyedari hakikat itu, kerajaan ingin melihat bahawa tumpuan diseimbangkan kepada kedua-dua sektor itu.

"Kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa teknologi hari ini memerlukan bakat-bakat baru dan kita telah meletakkan sasaran untuk melatih tenaga-tenaga baharu dalam bidang teknologi baharu.

“Ia termasuk kita buat resklling atau pun upskilling tenaga kerja yang sedia ada supaya kita tidak bergantung terlalu banyak kepada tenaga pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan Pameran Kerjaya Graduan Aspire 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gombak itu turut memberitahu, Malaysia perlu terus maju ke hadapan agar tidak ketinggalan dalam menguasai pelbagai bidang yang melibatkan teknologi baharu.

“Sama ada kita suka atau tidak, kita tidak boleh ketinggalan dalam bidang yang sungguh kompetitif ini.

“Saya bersetuju dengan (Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin) bahawa kita perlu siapkan anak-anak muda. Kita akan melangkah jauh daripada industri buruh intensif ke industri berteknologi tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, tambahnya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang meneliti untuk mewujudkan beberapa pendekatan baru untuk membantu industri keusahawanan beralih kepada automasi dan robotik bagi memenuhi keperluan semasa pada hari ini.

“Ini merupakan satu pelaburan modal yang besar dan mungkin mereka tidak ada kemampuan kecuali kerajaan melihat insentif tertentu untuk membantu mereka,” katanya.