KUALA LUMPUR: Kanak-Kanak yang mengalami gangguan spektrum autistik (ASD), termasuk daripada isi rumah B40, berpeluang mencapai potensi penuh mereka jika kerajaan melaksanakan latihan profesional pada tahap tertentu, khususnya dalam bidang pendidikan dan perubatan.

Pengarah Early Autism Project (EAP) Malaysia Jochebed Isaacs berkata keluarga dengan kanak-kanak ASD memerlukan kejelasan mengenai perkhidmatan berkualiti yang boleh didapati sejak didiagnosis sehinggalah mereka dewasa.

"Oleh itu, kita harus memiliki pelan jangka panjang yang lebih komprehensif dan memaksimumkan pembelajaran setiap kanak-kanak pada semua peringkat kehidupan mereka iaitu dari tahun-tahun awal dengan terapi intensif sehinggalah mereka melangkah ke sekolah rendah, menengah dan alam dewasa.

"Penghidap ASD, yang merupakan kecacatan perkembangan akibat perbezaan di dalam otak setiap kanak-kanak, akan mempunyai tempat untuk mendapatkan intervensi klinikal dan peluang pendidikan," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Berdepan gangguan spektrum, sesetengah kanak-kanak akan lebih terjejas berbanding yang lain dan mungkin memerlukan sokongan sepanjang hayat, kata Jochebed sambil menambah EAP menyediakan program rawatan tingkah laku intensif secara individu untuk penghidap ASD.

Ketika ini di Malaysia, sejumlah 589 individu berusia 18 tahun ke bawah telah didiagnosis dengan ASD, meningkat lima peratus berbanding 562 pada 2021.

Beliau berkata Malaysia sememangnya telah mencapai kemajuan dan berada di landasan yang betul ke arah keterangkuman serta menggalakkan orang ramai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih mesra autisme kerana sudah terdapat kelas pendidikan khas (PPKI) di kebanyakan sekolah kerajaan.

Bagaimanapun, Jochebed menggesa kerajaan dan Kementerian Pendidikan agar menyediakan pengajaran berhubung kemahiran pendidikan khas kepada guru bagi membolehkan mereka menangani kanak-kanak autisme.

Katanya buat masa ini, disebabkan sumber yang terhad, pelajar dengan tahap pembelajaran dan keperluan khas berbeza mungkin dihimpun bersama dan ia berupaya menjadi sesuatu yang amat mencabar untuk memaksimumkan pembelajaran pelajar yang memiliki keperluan berbeza secara individu.

"Justeru, guru pastinya memerlukan lebih banyak sokongan dan latihan mengenai cara mengaplikasi strategi pengurusan bilik darjah secara berkesan serta memaksimumkan pembelajaran terutama bagi pelajar autisme," katanya.

Beliau berkata pendidikan khas memerlukan kepakaran yang menelan kos terutama "jika kita ingin memastikan latihan yang mencukupi dan penyeliaan berterusan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti."

Katanya Malaysia harus menetapkan standard asas kualiti pendidikan khas dan meningkatkan pembiayaan bagi memastikan kualiti asas sokongan.

Jochebed juga berkata ibu bapa perlu memiliki akses untuk mempelajari strategi utama bagi membantu anak mereka kerana ramai yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan secara individu.

Bagaimanapun, beliau berkata ibu bapa yang diperkasa mampu menjadi terapi secara individu kepada anak mereka kerana sentiasa berada di samping mereka sepanjang hari.

Katanya ini adalah satu cadangan yang boleh dipertimbang oleh pusat kendalian kerajaan atau badan swasta/korporat untuk memperkasa ibu bapa dalam bidang ini.

-- BERNAMA