Skip to main content

Malaysia

Laungan 'Merdeka' bergema di bumi Brussels

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 🇲🇾🌺 Brussels, 30 Ogos 2026_FB Embassy of Malaysia in Brussels
Kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara, dihayati dan dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia walau di mana mereka berada. - Foto Facebook/Embassy of Malaysia in Brussels
Advertisement

KUALA LUMPUR: Laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” bukan sahaja bergema di Dataran Putrajaya dan di seluruh pelosok negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, malah turut memecah keheningan bumi Brussels, Belgium.

Membuktikan semangat patriotisme rakyat Malaysia tetap utuh meskipun berada jauh dari tanah air, kira-kira 250 rakyat Malaysia di Belgium dan Luxembourg berhimpun bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69. 

Majlis itu dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Brussels dengan Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak sebagai tuan rumah.

Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku”, disusuli lafaz ikrar yang dipimpin Mohd Khalid.

Beliau berkata kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara, dihayati dan dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia walau di mana mereka berada.

“Perjuangan mencapai kemerdekaan bukan sesuatu yang diperoleh dengan mudah. Ada keringat yang mengalir, air mata yang menitis, malah darah yang gugur ke bumi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Mohd Khalid berkata rakyat Malaysia di luar negara juga memainkan peranan penting sebagai duta kecil negara dalam memperkukuh imej serta memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Presiden Persatuan Malaysia Belgium dan Luxembourg (MABL) Sarala Vanherck yang menyifatkan sambutan tahunan berkenaan sebagai wadah penting untuk menyatukan komuniti Malaysia di kedua-dua negara,

Beliau berkata sambutan itu juga mampu menyemai dan menyuburkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda yang membesar di perantauan.

Kehadiran skuad hoki kebangsaan “Speedy Tigers” yang beraksi pada Kejohanan Hoki Dunia 2026 di Brussels menambah kemeriahan sambutan, sekali gus membangkitkan rasa bangga terhadap pencapaian negara di pentas dunia.

Aroma dan cita rasa Malaysia turut menghidupkan suasana apabila tetamu disajikan pelbagai juadah tempatan, termasuk nasi Kak Wok, ayam goreng, bihun ayam utara dan sate ayam, tidak dilupakan kuih-muih tradisional.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement