KUALA LUMPUR : Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand mampu memberikan gambaran lebih baik mengenai Islam terutamanya dalam konteks salah faham dan Islamofobia di negara itu.

Malah sebagai pemimpin utama Malaysia, Anwar dilihat sosok pemimpin berkaliber yang mampu membawa imej Islam yang dilihat lebih sederhana.

Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Faisal Aziz, Perdana Menteri dan komuniti diaspora Malaysia di Thailand memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi sebenar Islam bagi masyarakat Thailand.

Jelasnya, sebahagian masyarakat di negara gajah putih itu masih mempunyai salah faham tentang Islam sehingga mencetuskan krisis perbalahan di sesetengah wilayah di negara itu.

“Kekuatan Malaysia, Perdana Menteri dan juga diaspora Malaysia di sana ialah untuk menjernihkan salah anggap atau Islamofobia oleh segelintir komuniti masyarakat bukan Islam di Thailand.

“Kalau kita lihat konflik yang berlaku di wilayah-wilayah selatan Thailand pasti akan mendorong lebih banyak sentimen anti kepada Islam. Jadi lawatan Perdana Menteri bersama juga diaspora Malaysia dapat sedikit sebanyak menjernihkan Islamofobia itu dalam kalangan masyarakat Thailand,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI hari ini.

Tambah Faisal, adalah perlu menjadi salah satu perkara yang penting dalam mencipta naratif baharu sebagai usaha menolak salah tanggapan terhadap imej Islam.

BACA: PM Anwar tiba di Bangkok untuk lawatan rasmi

Selain daripada itu, beliau berkata, apa yang pasti, sebagai sebuah negara jiran, lawatan tersebut sudah tentunya akan menyentuh kepentingan hubungan dua hala yang lebih erat membabitkan aspek ekonomi dan sebagainya.

“Ia juga sebenarnya akan membuka ruang juga kepada diaspora Malaysia untuk mempelajari dan
menaik taraf teknologi hijau supaya isu-isu perubahan iklim yang berlaku di Malaysia seperti banjir," jelas beliau lagi.

Faisal turut berpendapat, hubungan Malaysia dan Thailand juga perlu dilihat dari susur galur sejarah ketemadunan kedua-duanya yang diasaskan oleh dua agama utama iaitu Islam dan Budha.

Justeru, katanya, usaha untuk memperbaiki perbezaan tersebut akan sedikit sebanyak mampu menjadi penggerak terhadap pintu kedamaian terhadap krisis yang berlaku di selatan negara itu membabitkan umat Islam.

Perdana Menteri tiba di Bangkok dengan pesawat khas pada jam 1 tengah hari ini (waktu tempatan) di Terminal Udara Tentera, Tentera Udara Diraja Thailand diiringi isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri, Don Pramudwinal yang mewakili Kerajaan Thailand.