Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

"Lawatan Jinping bukan sekadar hubungan diplomatik, keakraban dengan Anwar turut terjalin" - Fahmi

Khalis Khadir 17/04/2025 | 07:24 MYT
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengadakan sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini membuka lembaran baharu dalam mengeratkan hubungan perdagangan melibatkan kedua-dua negara.


Ringkasan AI
  • Lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia memperkukuh hubungan perdagangan dan diplomatik antara kedua-dua negara.
  • 31 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai, mencatatkan pencapaian bersejarah dalam kerjasama.
  • Perbincangan penting melibatkan hubungan dagang, geopolitik serantau, dan hala tuju kerjasama masa hadapan.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bukan sekadar memperkukuh hubungan diplomatik, malah turut mengeratkan keakraban Jinping dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam situasi ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Sudah pasti Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap akan dapat meneruskan hubungan dagang dengan pelbagai negara yang ingin bersama kita.

“Lawatan negara Presiden Xi ini mencapai maksud tersebut,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Khamis.

Beliau menambah, lawatan itu juga telah merekodkan pencapaian yang boleh disifatkan sebagai bersejarah apabila 31 memorandum persefahaman kerjasama (MoU) berjaya dimeterai antara kedua-dua negara.

Fahmi berkata, selain MoU yang ditandatangani, lawatan tersebut juga membawa perbincangan penting melibatkan hubungan dagang, geopolitik serantau serta hala tuju kerjasama masa hadapan.

Ia mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam landskap geoekonomi Asia Tenggara, terutamanya dalam kerangka kerjasama ASEAN–China yang semakin erat.

Jinping hari ini berlepas ke Kemboja selepas menamatkan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia.

Pesawat Air China yang membawa Xi dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.04 pagi.

Beliau memulakan Lawatan Negara pada Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.





#Xi Jinping #Fahmi Fadzil #China #Anwar Ibrahim #terkini