[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Lawatan kerja PM Anwar ke Thailand perkukuh hubungan rentas sempadan, kestabilan serantau

Bernama 16/04/2025 | 23:10 MYT
Menurut Bong Yik Jui,pertemuan Perdana Menteri Anwar dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra ialah bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama rentas sempadan. - Gambar Bernama
BANGKOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Thailand hari ini dan beliau dijangka bertemu rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama rentas sempadan.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Paetongtarn di Rumah Kerajaan pada Khamis.
"Susulan mesyuarat itu, kedua-dua Perdana Menteri dijadual menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan berkaitan kerja-kerja tebatan banjir dan pengorekan membabitkan Sungai Golok," katanya kepada media Malaysia pada Rabu.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyusuli hasil Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-7 yang diadakan pada 16 Dis 2024 di Putrajaya.
Anwar dijangka tiba di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thailand yang terletak berhampiran Don Mueang petang ini dengan pesawat khas.
Ini adalah lawatan kedua Perdana Menteri ke Thailand sejak memegang tampuk kepimpinan pada 2022 selepas kunjungan pertama pada 2023, yang menyaksikan beliau bertemu Jeneral Prayut Chan-o-cha iaitu Perdana Menteri Thailand ketika itu.
Bong berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Tan Sri Othman Hashim semasa lawatan kerja dua hari itu.
Beliau berkata, satu Memorandum Persefahaman juga akan ditandatangani oleh Nanta dan Menteri Pengangkutan Thailand iaitu Suriya Juangroongruangkit.
Semasa lawatan itu, Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berhubung isu lanjutan gencatan senjata antara pemerintah negara itu dan kumpulan penentang bagi menyokong usaha membantu mangsa gempa bumi.
Bagaimanapun, masa dan lokasi pertemuan kedua-dua pemimpin belum ditentukan.
Bong juga berkata, Anwar dijangka mengadakan perbincangan dengan pemimpin industri dan perniagaan Thailand di sebuah hotel di Bangkok.
Pada sebelah petang, Anwar dijadual mengadakan pertemuan peribadi dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan antara agenda yang dijangka dibincangkan ialah proses damai Myanmar serta tarif AS.
Susulan pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menghadiri majlis makan malam dengan Majlis Penasihat Tidak Rasmi yang melibatkan wakil dari Singapura, Indonesia dan Filipina.
Perdana Menteri dijadual pulang ke tanah air pada 18 April.
Pada 2024, Thailand adalah rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan nilai dagangan USD25.03 bilion (RM114.56 bilion).
Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencecah USD3.96 bilion (RM17.65 bilion) berbanding USD3.67 bilion (RM16.80 bilion) bagi tempoh sama pada 2024.
-- BERNAMA
#lawatan kerja #PM Anwar Ibrahim #PM Anwar lawat Thailand #kestabilan serantau #PM Paetongtarn Shinawatra