BERLIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di Republik Persekutuan Jerman untuk lawatan rasmi sulungnya ke negara Kesatuan Eropah (EU) pada 10 Mac, 10.00 malam waktu tempatan.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Adina Kamarudin berkata lawatan rasmi ini turut disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Antara jadual padat yang akan penuhi Perdana Menteri termasuk Upacara Sambutan Rasmi oleh Canselor Persekutuan Jerman, Olaf Scholz, diikuti sidang media bersama selepas pertemuan mata kedua-dua pemimpin.

Kunjungan ke Jerman merupakan lawatan balas kepada Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier yang melawat Malaysia pada Februari tahun lalu.

Anwar juga dijadualkan bertemu dengan kapten-kapten industri di Berlin dan Hamburg dalam beberapa siri Mesyuarat Meja Bulat yang akan turut disertai oleh pelabur-pelabur berpotensi seperti Nexperia, Schott AG, Infenion, Melexis dan Airbus.

Berdasarkan laporan diterbitkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Nexperia pula merancang untuk meningkatkan pelaburannya sehingga RM1.6 bilion menjelang 2026. Manakala, Schott AG pula telah merekodkan pelaburan bernilai RM283 juta setakat 2022 dengan membuka hampir 1000 peluang pekerjaan.

Infineon pula telah umumkan pelaburan tambahan RM24.9 bilion dalam negara pada tahun lalu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Perkembangan mutakhir melibatkan syarikat tersebut adalah Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Infineon Kulim dengan universiti tempatan untuk melatih tenaga mahir.

Menurut laporan-laporan diterbitkan MIDA lagi, Melexis pula bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk menghasilkan pengeluaran mikrocip, dan Airbus dalam usaha bersama syarikat-syarikat tempatan dalam merealisasikan hasrat mencipta industri penerbangan yang lebih hijau dan mampan.

Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur pada 15 Mac, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 di Hamburg pada 15 Mac 2024.

“Majlis ini merupakan acara tahunan eksklusif bagi ahli-ahli perniagaan Jerman. Beliau akan menyampaikan ucaptama dalam meningkatkan hubungan ekonomi dan perniagaan bagi rantau Asia-Pasifik dengan Jerman,” jelas Adina.