Lawatan presiden IsDB ke Malaysia perkukuh hubungan dua hala

Bernama
Julai 22, 2022 20:00 MYT
Lawatan sulung Presiden Islamic Development Bank (IsDB) Muhammad Sulaiman Al Jasser (kiri) ke Malaysia bertujuan mengukuhkan hubungan yang baik di antara Malaysia dan Kumpulan IsDB. - Foto Facebook/Shahar Abdullah
KUALA LUMPUR: Lawatan sulung Presiden Islamic Development Bank (IsDB) Muhammad Sulaiman Al Jasser ke Malaysia bertujuan untuk mengukuhkan hubungan yang baik antara Malaysia dan Kumpulan IsDB.
IsDB dalam satu kenyataan berkata lawatan beliau selama dua hari yang berakhir hari ini adalah susulan daripada pertemuan dua hala antara Muhammad Sulaiman dan Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah semasa mesyuarat tahunan IsDB ke-47 di Mesir yang berlangsung pada 2 hingga 4 Jun, 2022.
"Muhammad Sulaiman turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur, Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Yayasan Wakaf Malaysia dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan berkaitan sektor awqaf di negara ini," kata iSDB.
Ia berkata objektif utama kajian itu adalah untuk menilai dan memastikan komponen dan pelaburan perniagaan utama yang bermanfaat dan relevan untuk dana wakaf awqaf dengan memanfaatkan model perniagaan dan prestasi Dana Pelaburan Hartanah Awqaf IsDB.
-- BERNAMA
#IsDB #Islamic Development Bank #Muhammad Sulaiman Al Jasser #Mohd Shahar Abdullah