Lawatan rasmi ke luar negara bukan untuk kemuliaan peribadi - Zambry

Hasimi Muhamad
Mac 29, 2023 02:10 MYT
Zambry (kiri) ketika hadir pada sidang media Perdana Menteri sempena lawatan rasmi ke Arab Saudi di Jeddah, 24 Mac lalu. Gambar fail BERNAMA
BEIJING: Lawatan rasmi kerajaan ke luar negara termasuk ke Kemboja dan Arab Saudi baru-baru ini bukan bertujuan untuk kemuliaan peribadi ataupun kepentingan politik, kata Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Sebaliknya, Menteri Luar itu menegaskan, ia adalah mengenai hubungan antara kedua-dua negara dan kebaikan buat Malaysia.
"Anda tidak boleh berhenti daripada berpolitik tetapi perkara yang paling penting saya ingin tegaskan di sini ialah, apa sahaja yang kita mahu lakukan, ingat, ini adalah mengenai hubungan antara kedua-dua negara untuk kebaikan negara.
"Ia bukan untuk kepentingan individu atau sebarang kepentingan politik.
"Apa sahaja yang kita lakukan di sini (lawatan rasmi di China) termasuk lawatan rasmi baru-baru ini di Kemboja dan Arab Saudi, adalah untuk negara.
"Jadi, semasa anda semua mengkritik dan mempolitikkan apa sahaja, sila ingat (kepentingan negara)," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, di sini, Selasa malam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah lawatan rasmi di China juga akan dipolitikkan.
Ia selepas pembangkang baru-baru ini mengkritik lawatan Anwar dan delegasi ke Arab Saudi dengan mendakwa ia sebagai gagal.
Antara yang dimainkan ialah Anwar, yang juga Menteri Kewangan didakwa menerima sambutan hambar dari Arab Saudi, tidak dibawa masuk Kaabah seperti kelaziman lawatan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, dan tiada pertemuan antara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atau Putera Mahkotanya, Mohammed Salman.
Mengulas lanjut, Zambry menggesa mana-mana individu dan kumpulan politik agar memberikan kritikan secara seimbang dan bertanggungjawab berhubung lawatan rasmi kerajaan.
Ini kerana, jelas beliau, ia bagi mengelakkan tindakan berkenaan memudaratkan Malaysia dan negara lain.
"Oleh hal itu, kita cuba sedaya upaya untuk tidak melampaui batas, mengekalkan kesopanan dan menghormati hubungan antara negara.
"Kita perlu mengekalkan rasa hormat terhadap hubungan antara negara dan kekal sebagai sebahagian usaha antarabangsa kita (kerajaan) untuk membina hubungan dengan negara ini (China), dan negara-negara lain di dunia," tambahnya.
Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula 29 Mac hingga 1 April ini.
Ia merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke China sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #lawatan rasmi ke Arab Saudi