MALAYSIA
Lawatan rasmi PM Anwar ke Indonesia perkukuh hubungan akrab dua negara

Anwar dan Prabowo ketika mengadakan sidang media bersama di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, 27 Jan lalu. - Gambar fail/BERNAMA
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada Jumaat sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat.
Ringkasan AI
- Lawatan Rasmi Anwar ke Indonesia - Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada Jumaat sebagai kunjungan balas dan persediaan untuk Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Indonesia.
- Fokus Perbincangan - Anwar akan bertemu Presiden Prabowo untuk menilai hubungan dua hala, membincangkan hasil Sidang Kemuncak ASEAN dan isu serantau serta global yang penting bagi kedua-dua negara.
- Hubungan Ekonomi Kukuh - Indonesia ialah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global, dengan nilai dagangan dua hala meningkat kepada RM116.29 bilion pada 2024.
Sepanjang lawatan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Prabowo bagi menilai perkembangan hubungan dua hala, menyusuli hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada 2024, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Nilai dagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion (US$25.5 bilion) berbanding RM111.21 bilion (US$24.39 bilion) pada 2023.
"Sebagai negara tetangga serumpun yang terdekat dan berkongsi hubungan sejarah serta sebagai negara pengasas ASEAN, lawatan rasmi ini menzahirkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ASEAN secara keseluruhan," menurut kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami