[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Lawatan Xi: China terus jadi rakan dagang Malaysia paling signifikan - PM Anwar

Firdaus Azil 16/04/2025 | 11:50 MYT
Anwar berkata, kekuatan hubungan dua negara bukan semata-mata terkandung dalam angka perdagangan dan statistik pelancong, tetapi berpaksikan pemahaman bahawa kemakmuran, mesti dikongsi bersama. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: China akan terus menjadi rakan dagang paling penting bagi Malaysia, dengan kehadirannya dirasai dalam setiap denyut pembangunan negara - daripada aliran barangan dan idea kepada transformasi tenaga, infrastruktur dan inovasi.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan China kekal sebagai rakan dagang paling penting Malaysia, dengan kerjasama meliputi pembangunan, inovasi dan infrastruktur.
  • Beliau memuji hubungan erat Malaysia-China yang dibina atas kepercayaan, persefahaman dan kerjasama strategik jangka panjang.
  • Anwar menyeru dunia menolak tribalisme ekonomi dan menekankan perdagangan sebagai usaha bersama demi keamanan dan kemajuan sejagat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan hubungan dua negara bukan semata-mata terkandung dalam angka perdagangan dan statistik pelancong, tetapi berpaksikan pemahaman bahawa kemakmuran, mesti dikongsi bersama.
Tambahnya lagi, kepercayaan juga apabila sudah ditanam, perlu dijaga dengan penuh perhatian, kesabaran, dan komitmen.
“Malaysia dan China sekian lama saling berganding bahu - ketika berada dalam tempoh kejayaan, mahupun tempoh penuh cabaran - bukan semata-mata rakan kongsi komprehensif strategik, tetapi sebagai rakan sejati, demi keamanan dan kemakmuran serantau.
“Lebih daripada sedekad sejak kedatangan Presiden Xi, dunia mungkin sudah berubah dengan pelbagai cara, tetapi keakraban antara Malaysia dan China kekal teguh dan mantap - dan diperbaharui dengan dialog, dan disahkan melalui tindakan," katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Makan Malam sempena Lawatan Rasmi Presiden Republik Rakyat China ke Malaysia, di Kompleks Seri Perdana pada Rabu.
Awal hari ini, Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Xi bersama delegasi turut diraikan serta diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara dengan keberangkatan bersama Yang di-Pertuan Agong di Dewan Santapan Utama.
Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, China dibawah pimpinan Xi, telah menggariskan siri inisiatif global yang mencerminkan pandangan dunia yang tersendiri.
“Inisiatif Belt and Road telah memberi takrifan semula tentang keterhubungan, yang bukan sebagai rangkaian jalan raya dan rel semata-mata, tetapi sebagai rangka kerja untuk kerjasama.
“Inisiatif Pembangunan Global menekankan kepentingan kemajuan inklusif. Inisiatif Keselamatan Global menyeru keamanan melalui dialog, dan Inisiatif Peradaban Global menawarkan peringatan tepat pada masanya bahawa menghormati perbezaan bukanlah halangan kepada keharmonian, tetapi hadir dengan syarat tertentu,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, apa yang dunia sedang alami ketika ini bukanlah satu pengiktirafan jujur terhadap ketidaksempurnaan globalisasi, tetapi pengunduran ke arah tribalisme ekonomi.
“Akses pasaran menjadi senjata (pihak tertentu). Apa yang satu ketika dilihat sebagai perjanjian global untuk perkongsian pertumbuhan, kini digulung di bawah gangguan timbang tara dan gangguan unilateral.
“Kami menggesa semua pihak untuk berhenti sejenak, merenung, dan bergerak satu langkah dari jurang tersebut. Perdagangan bukan satu pertandingan untuk mencari pihak yang menang atau kalah, tetapi usaha bersama.
“Tujuannya bukan untuk dominasi, tetapi kemajuan untuk semua. Apabila wujud tekanan yang kuat, atau cubaan untuk melanggar peraturan, bukan kemakmuran sahaja yang goyah, tetapi asas keamanan global akan runtuh,” tegasnya lagi.
Di tengah-tengah pergolakan tersebut, Anwar berkata, China telah menjadi rakan kongsi yang rasional, kuat dan boleh dipercayai.
“Malaysia menghargai konsistensi ini. Malaysia akan kekal sebagai rakan yang teguh dan berprinsip kepada China - dipandu oleh kebijaksanaan sejarah dan janji masa depan. Dasar luar negara kita dibentuk oleh visi yang jelas tentang kepentingan kita dan keutamaan ASEAN.
“Kami menantikan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC – CHINA yang pertama pada bulan Mei dan Sidang Kemuncak ASEAN – AS yang seterusnya. Biarlah ia menjadi peringatan bahawa sejarah tidak ditulis dengan tergesa-gesa, dan bahawa perkongsian sejati tidak dibina dalam sekelip mata, tetapi dari masa ke masa – dengan perhatian, keberanian dan dedikasi,” tambahnya.
#Lawatan Negara #Xi Jinping #Malaysia #China #peragangan #Anwar Ibrahim #pembangunan negara