KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) akur dengan syor penambahbaikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membentangkan laporan kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setiap tiga bulan sehingga projek berkenaan disempurnakan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Mindef sentiasa menyalurkan maklumat berdasarkan semua jawatankuasa yang telah dibentuk dan tidak timbul isu maklumat tidak diberikan kepada PAC.

"Setiap jawatankuasa ada tempoh mesyuaratnya dan dalam tempoh itu, jawatankuasa boleh memanggil mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat dan PAC boleh mengambil maklum tentang semua maklumat daripada jawatankuasa terbabit," katanya pada sidang media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan 2023 Peringkat Kebangsaan di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

PAC dalam laporan baru-baru ini mengemukakan lima syor penambahbaikan bagi projek LCS termasuk Mindef perlu membentangkan laporan kemajuan setiap tiga bulan sehingga projek itu disempurnakan selain laporan kemajuan mengikut piawaian pengurusan projek antarabangsa.

Selain PAC, terdapat tiga jawatankuasa yang turut memantau kemajuan projek LCS iaitu Jawatankuasa Teknikal di peringkat Pasukan Projek dan Project Management Review iaitu pasukan teknikal projek di peringkat Mindef.

Selain itu, terdapat Jawatankuasa Kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Mindef dan Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Mindef dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Pembinaan LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.08 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

-- BERNAMA