BALING: Lebih 1,000 murid daripada 27 buah sekolah di Kupang di sini yang terjejas dalam kejadian banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu akan memulakan semula persekolahan esok.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata berdasarkan bancian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling, terdapat 1,059 murid yang terkesan bencana itu.

"Kesemua murid adalah dari 17 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah," katanya kepada pemberita pada program agihan set seragam sekolah oleh Pejabat Ahli Parlimen Baling bersama UDA Holdings Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, di sini, hari ini.

Katanya, sejumlah 1,500 set pakaian dan kelengkapan persekolahan akan diagihkan dan murid yang tidak dapat mengambilnya pada hari ini boleh berbuat demikian esok.

Katanya, sekiranya murid yang terkesan tidak mempunyai pakaian seragam untuk hadir ke sekolah, pihak PPD telah membenarkan mereka untuk memakai pakaian biasa ke sekolah esok.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata pusat pemindahan sementara SMK Jerai yang dibuka sejak kejadian pada 4 Julai lalu ditutup hari ini dan kesemua 17 keluarga yang menetap di situ telah berpindah ke rumah sewa.

Katanya bayaran sewa ditanggung oleh kerajaan negeri untuk tempoh enam bulan manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang membina rumah untuk mereka.

-- BERNAMA