BERA: Seramai lebih 1,000 pesakit kanser baharu yang dikesan di negeri Pahang, dengan sekurang-kurangnya tiga individu disahkan mengidap penyakit itu setiap hari.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 600 individu yang dikesan disahkan mengidap penyakit kanser tahap 3 dan 4.

"Tetapi, untuk pesakit kanser prostat sahaja, sekurang-kurangnya lapan daripada 10,000 individu lelaki yang berusia 50 tahun ke atas yang disaring dikesan.

"Jadi, pemeriksaan awal terutamanya orang lelaki terutamanya yang sudah berusia 50 tahun ke atas perlu dilakukan tanpa rasa segan atau malu.

"Jangan tunggu sakit tetapi lakukan pemeriksaan awal di klinik kesihatan berdekatan. Hanya beberapa minit sahaja untuk melakukan pemeriksaan air kencing.

"Sekiranya ada sesuatu dikesan menerusi keputusan ujian itu, baharulah individu terbabit perlu menjalani pemeriksaan seterusnya," katanya ketika selepas Majlis Perasmian Program Saringan Kanser Prostat 2023 Peringkat Negeri Pahang, di Hospital Bera, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Urologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr Noor Ashani Md Yusoff; Ketua Jabatan Urologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Hamid Ghazali; Timbalan Pengarah Hospital Bera, Dr R. Kailash Naven Naidu dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.

Kempen Kesedaran Penyakit Prostat Peringkat Negeri Pahang yang merupakan aktiviti tahunan Jabatan Urologi HTAA, Kuantan telah mula dilaksanakan sejak dari tahun 2010 dan Hospital Bera merupakan destinasi ke-11.

Dr Wan Abdul Rahim memberitahu, menerusi kempen berterusan ini, seramai lebih 2,000 orang peserta telah disaring dan hampir 50 peratus dikesan mempunyai penyakit berkait kelenjar prostat dan sebilangannya dikesan menghidapi penyakit kanser prostat peringkat awal.

"Kumpulan sasaran bagi program ini adalah golongan lelaki berumur 50 dan ke atas yang mempunyai simptom kencing (lower urinary tract symptoms) serta lelaki berumur 40 tahun dan ke atas yang mempunyai sejarah kanser dalam keluarga.

"Antara objektif utama program ini adalah untuk mempromosi perkhidmatan urologi di negeri Pahang, selain mewujudkan kesedaran mengenai penyakit prostat dan mempromosikan gaya hidup sihat," ujarnya.

Program Saringan Kanser Prostat 2023 Peringkat Negeri Pahang dianjurkan oleh Jabatan Urologi HTAA dengan kerjasama Hospital Bera, Pejabat Kesihatan Daetah Bera, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) dan University Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).