KUALA LUMPUR:
Seramai 1,065 usahawan wanita mendapat sokongan kewangan berjumlah RM22.6 juta daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp.), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun 2023.

Ia merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan 2,708 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program-program pembangunan dilaksanakan SME Corp. tahun lepas dengan nilai bantuan berjumlah RM92.6 juta.

Pencapaian tersebut berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan SME Corp. bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat adalah dari kalangan usahawan wanita.

Antara program yang dilaksanakan dengan jayanya adalah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang mana seramai 548 orang daripada keseluruhan 1,142 peserta (48 peratus) merupakan usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta.


SME Corp. juga telah membantu usahawan wanita melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bertujuan menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan.

Daripada 555 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, separuh daripadanya (50 peratus) iaitu 280 peserta adalah belia wanita melibatkan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta.

Selain itu, SME Corp. turut melaksanakan Program Pengukuhan Eksport PMKS yang bertujuan meningkatkan keupayaan pra-eksport PMKS serta menambah bilangan PMKS yang berpotensi menembusi pasaran global, yang mana seramai 121 PMKS milikan wanita telah mendapat kelulusan berjumlah RM3.3 juta.

Program lain yang mencatat penyertaan memberangsangkan dari usahawan wanita antaranya adalah Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Geran Perniagaan Mikro (GPM) yang berjaya memanfaatkan lebih 100 usahawan wanita dengan kelulusan geran bernilai lebih RM12 juta bagi tujuan pembangunan kapasiti perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal bin Nainy berkata bahawa untuk tahun ini, mereka memperuntukkan RM134.6 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan program yang disasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 16,700 PMKS termasuk usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama, inklusif dan mampan.

“Pada tahun ini juga, SME Corp. akan kembali menganjurkan Anugerah Enterprise 50 (E50) iaitu program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PMKS terunggul di Malaysia.

“Bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan usahawan wanita, salah satu Anugerah Khas yang telah diwujudkan di bawah Anugerah tersebut adalah Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50,” katanya.

Bagi mempermudah PMKS memohon bantuan yang ditawarkan, mereka boleh memanfaatkan permohonan secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MyBPI) yang baru diperkenalkan tahun ini.

Maklumat lanjut berkenaan program serta inisiatif yang disediakan boleh diakses di laman sesawang SME Corp. Malaysia.