KUALA LUMPUR: Sejumlah 10,317 individu diisytihar bankrap sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada Mac 2020 sehingga Julai tahun ini.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Selangor merekodkan individu paling ramai direkodkan bankrap iaitu 2,555 orang.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula merekodkan seramai 1,288 orang bankrap dalam tempoh tersebut.

Jumlah kes kebankrapan dilaporkan sejak Mac 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat turut memaklumkan 1,246 syarikat berdaftar telah terpaksa gulung tikar dalam tempoh sama.

Statistik itu dinyatakan Perdana Menteri sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu bilangan syarikat yang telah gulung tikar dan data pekerja diberhentikan mengikut negeri-negeri bagi tahun 2020 dan 2021.

Jumlah kes penggulungan syarikat (terpaksa) sejak Mac 2020.

Lip Eng turut bertanyakan apakah bantuan ekonomi kerajaan khusus bagi pengusaha yang menamatkan perniagaan dan pekerja hilang kerja akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan.

Menjawab soalan tersebut, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus untuk peniaga yang menamatkan perniagaan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi bantuan dan insentif untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

"Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan melalui Pakej-pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan dengan fokus untuk menyokong perniagaan mereka dan melindungi rakyat," katanya.

Antara program dan inisiatif berkaitan perkara di atas adalah:

Menyokong Perniagaan
i. Geran Khas Prihatin;
ii. Program Subsidi Upah;
iii. Pengecualian Levi HRDF;
iv. Moratorium Pembayaran Balik Pinjaman; dan
v. Skim Kredit Mikro

Melindungi Rakyat
i. Elaun Mencari Pekerjaan;
ii. Bantuan Kehilangan Pendapatan;
iii. Program Peningkatan Kemahiran dan Semula;
iv. Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR);
v. Moratorium Bayaran Balik Pinjaman;
vi. Kemudahan Pengeluaran KWSP; dan
vii. Bantuan Khas COVID-19