MALAYSIA

Lebih 1,000 Orang Asli Pos Hau, Kampung Redip perlukan bekalan elektrik

Bernama 17/10/2025 | 20:00 MYT
Jumaat menunjukkan penjana mini hidroelektrik yang membekalkan elektrik ke rumah penduduk Kampung Redip yang rosak beberapa bulan lalu selepas hujan lebat, dipercayai akibat dibadai arus deras ketika itu. - Foto BERNAMA
GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Hau dan Kampung Redip di sini, kini memerlukan bekalan elektrik segera selepas penjaga mini hidroelektrik, yang membekalkan elektrik ke rumah mereka rosak beberapa bulan lepas, akibat hujan lebat dan arus deras di sungai berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Hau Jumaat Arum berkata projek mini hidro itu dibangunkan hasil usahasama universiti awam dan syarikat swasta.

Beliau berkata penduduk kini terpaksa bergantung kepada generator, lampu solar dan lilin yang menanggung kos lebih RM300 sebulan.

"Selain itu, kami juga perlu menggunakan lampu solar dan lilin untuk mendapatkan pencahayaan di dalam rumah pada waktu malam," katanya ketika ditemui di Kampung Redip di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan proaktif bagi menangani gangguan bekalan elektrik berasaskan mini hidro itu.

Beliau berkata JAKOA telah merancang beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang, termasuk perbincangan dengan Universiti Malaysia Kelantan untuk mengenal pasti penambahbaikan sistem mini hidro, serta memastikan penyelenggaraan berkala dan penyediaan bekalan elektrik melalui sambungan talian grid TNB bagi kawasan Pos Hau, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

Mohd Faedyzal berkata langkah itu sebahagian daripada usaha berterusan JAKOA bagi memastikan keperluan asas masyarakat Orang Asli sentiasa diberi perhatian, selari dengan prinsip inklusif dan menyeluruh dalam pembangunan negara.

Seorang penduduk suku kaum Temiar Nordiana Anjang, 25, berkata keluarganya terpaksa berjimat cermat dengan hanya menghidupkan generator dari pukul 7 malam hingga 7 pagi untuk lampu, kipas dan mengecas telefon, sekali gus menjejaskan aktiviti harian serta pembelajaran anak-anak.

-- BERNAMA




#Orang Asli Pos Hau #Kampung Redip #bekalan elektrik #JAKOA Kelantan dan Terengganu