MALAYSIA

Lebih 1,000 permohonan tanah kerajaan sedang diproses kelulusan

Bernama 04/11/2025 | 12:30 MYT
Ab Rauf berkata bagi tahun 2025, sebanyak 263 permohonan diterima dengan 163 PTK di Daerah Alor Gajah diluluskan, disusuli Notis 5A yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah. - Gambar Bernama
ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka melalui pihak berkuasa negeri sedang mempertimbangkan untuk meluluskan 1,110 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) yang diterima sejak tahun 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Melaka mempertimbangkan meluluskan 1,110 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) sejak 2023 untuk rakyat yang belum memiliki tanah sendiri, dengan proses penilaian ketat berdasarkan kelayakan pemohon.
  • Setakat tahun 2025, sebanyak 263 permohonan diterima dan 163 PTK diluluskan di Daerah Alor Gajah, dengan 16 surat kelulusan PTK diserahkan kepada penerima di Kampung Gangsa Belimbing dan Parit Melana serta agensi lain.
  • Kerajaan Melaka menetapkan kadar bayaran yang lebih rendah kepada penerima PTK Rizab Keretapi (KTM) antara RM11,000 hingga RM49,000, menunjukkan komitmen memberi peluang memiliki tanah sendiri pada kadar mampu milik untuk kesejahteraan rakyat.


Beliau berkata sehingga kini masih banyak permohonan diterima, manakala proses penilaian dilakukan dengan ketat berdasarkan kelayakan pemohon untuk memiliki tanah tersebut, kerana antara syaratnya ialah belum pernah memiliki tanah lagi.

"Ini salah satu komitmen kerajaan negeri untuk memberikan peluang kepada rakyat yang tidak memiliki tanah untuk mendapat tanah hak sendiri," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bulatan Pantai Belimbing dan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di persimpangan Bulatan Pantai Belimbing di sini hari ini.

Ab Rauf berkata bagi tahun 2025, sebanyak 263 permohonan diterima dengan 163 PTK di Daerah Alor Gajah diluluskan, disusuli Notis 5A yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah.

"Seperti hari ini sebanyak 16 surat kelulusan bagi PTK diserahkan kepada penerima yang telah berjaya melalui proses penilaian dan saya percaya, penerima PTK yang diraikan hari ini akhirnya dapat menarik nafas lega, apabila impian untuk memiliki tanah sendiri kini menjadi kenyataan," katanya.

Ab Rauf berkata daripada jumlah itu, 14 penerima melibatkan tanah rizab kereta api di Kampung Gangsa Belimbing dan Parit Melana, dua penerima agensi iaitu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tapak pembinaan Masjid Taman Vista Belimbing, serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi tapak depot kenderaan dan logistik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menetapkan kadar bayaran yang jauh lebih rendah kepada para penerima Permohonan Tanah Kerajaan Rizab Keretapi (KTM), iaitu hanya antara RM11,000 hingga RM49,000 bergantung kepada keluasan tanah masing-masing.

"Keputusan tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyantuni rakyat termasuk memberi peluang memiliki tanah sendiri pada kadar mampu milik, kerana berpegang kepada prinsip bahawa tanah bukan sekadar aset, tetapi amanah untuk menjamin kesejahteraan rakyat kini dan generasi akan datang.

-- BERNAMA




#PTK #proses penilaian #KTM #kadar mampu milik