MALAYSIA
Lebih 12,000 kes kecemasan pantai ditangani APM sejak 2009

Aminurrahim berkata Malaysia memiliki garis pantai sepanjang 4,800 kilometer yang indah namun penuh risiko apabila mana lebih 600 kes lemas direkodkan setiap tahun. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menangani lebih 12,000 kes kecemasan pantai sejak 2009, dengan kehadiran anggota penyelamat pantai kini dilihat sebagai satu keperluan mendesak, kata Ketua Pesuruhjayanya Datuk Aminurrahim Mohamed.
Beliau berkata Malaysia memiliki garis pantai sepanjang 4,800 kilometer yang indah namun penuh risiko apabila mana lebih 600 kes lemas direkodkan setiap tahun.
"Sebagai barisan ketiga keselamatan negara, AMP dilihat memainkan peranan besar dalam kesiapsiagaan bencana, operasi mencari dan menyelamat, serta mendidik masyarakat menghadapi kecemasan.
"Justeru, penyelamat pantai APM perlu sentiasa berusaha meningkatkan keselamatan pelancong, mengukuhkan imej negara dan melindungi nyawa rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan "Civil Defence Lifeguard Challenge" (CDLC) 2025 di Pantai Teluk Cempedak di sini hari ini.Majis berkenaan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Aminurrahim berkata CDLC bukan sekadar pertandingan tetapi platform mengukur kompetensi, disiplin dan keberanian dalam kalangan penyelamat pantai.
Edisi ketiga CDLC yang melabuhkan tirai hari ini selepas bermula Jumaat lepas menyaksikan penyertaan 14 kontinjen APM negeri dan pusat latihan, enam kontinjen agensi kerajaan, lapan kontinjen Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) dan lapan kontinjen Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) Pahang.
Difahamkan, penganjuran kali ini turut memperkukuh prosedur penyelamatan setaraf standard profesional antarabangsa dengan disiplin kejohanan berpandukan Persekutuan Menyelamat Nyawa Antarabangsa (ILS) meliputi acara pantai seperti larian pecut berganti pantai, bendera pantai, papan lucur berganti, larian-berenang-larian, ketahanan laut, penyelamatan dengan tiub bantuan dan perlumbaan bot getah rigid (RIB)
Pada pertandingan itu, kontinjen Sarawak muncul pemenang pertama untuk meraih wang tunai RM4,000 diikuti Kedah di tempat kedua dengan hadiah RM3,000 dan ketiga, Sabah yang membawa pulang RM2,000.
Ketua Kontinjen Sarawak Kapten (PA) Madihi Habib ketika ditemui berkata kejayaan pasukannya yang terdiri daripada 31 anggota kerana mereka dibarisi muka baharu yang dipilih di peringkat daerah, zon dan negeri.
"Kami melakukan persiapan rapi sebelum datang ke sini, pentingnya CDLC ini adalah untuk menguji tahap kecekapan, disiplin dan respons penyelamat pantai kami," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami