MALAYSIA

Lebih 13 juta rakyat Malaysia telah tebus bantuan SARA RM100 melalui MyKad

Dewi Nur Harasha Alias 23/09/2025 | 04:00 MYT
Baki yang belum digunakan masih sah untuk pembelian barangan asas secara tanpa tunai di kedai rakan niaga. - Gambar hiasan/BERNAMA
GEORGE TOWN: Seramai lebih 13 juta rakyat Malaysia telah menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 setakat hujung minggu lalu, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


Ringkasan AI
  • Lebih 13 juta rakyat telah tebus SARA RM100: Bantuan dikreditkan terus ke MyKad dan menunjukkan penebusan penuh setakat hujung minggu lalu.
  • Bantuan boleh digunakan sehingga 31 Disember: Baki yang belum digunakan masih sah untuk pembelian barangan asas secara tanpa tunai di kedai rakan niaga.
  • Inisiatif pertama seumpamanya melalui MyKad: Disalurkan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan, sebagai usaha meringankan beban rakyat.


Beliau berkata jumlah tersebut menunjukkan penebusan penuh oleh rakyat selepas bantuan khas itu dikreditkan terus ke dalam MyKad masing-masing.

Inisiatif ini merupakan kali pertama bantuan tunai disalurkan secara menyeluruh melalui MyKad, bertujuan meringankan beban rakyat.

“Inisiatif ini terus mendapat sambutan. Bagi mereka yang belum menebus, masih ada masa sehingga penghujung tahun,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL, Pulau Pinang, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata data terkini menunjukkan penebusan tertinggi berlaku pada hari Sabtu lalu, dengan lebih 13 juta penerima telah menggunakan bantuan tersebut.
“Ada yang belum habiskan sepenuhnya RM100 itu. Baki yang ada masih boleh digunakan sehingga 31 Disember,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Bantuan SARA RM100 secara one-off diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan.

Bantuan ini mula dikreditkan pada 31 Ogos dan boleh digunakan untuk pembelian barangan asas secara tanpa tunai di kedai rakan niaga sehingga akhir tahun.









#sara #Amir Hamzah Azizan #mykad #bantuan khas