NATIONAL

Lebih 1,300 pegawai, anggota polis bertugas sempena LIMA'25

Bernama 16/05/2025 | 20:00 MYT
Shariman mengingatkan pengunjung ke Langkawi supaya berhati-hati dengan tempahan yang dibuat terutama melalui ejen bagi kereta sewa, hotel, rumah inap dan pakej lain, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. - Gambar Facebook Polis Langkawi
ALOR SETAR: Lebih 1,300 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk memastikan keselamatan dan mengawal lalu lintas sepanjang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata penugasan ditumpukan terhadap kawalan keselamatan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World yang menjadi lokasi utama LIMA'25.

"Penugasan turut melibatkan lokasi penginapan tetamu kenamaan, majlis rasmi, kawalan radar, rondaan pencegahan jenayah, pemantauan lokasi tumpuan orang ramai, kawalan lalu lintas serta pasukan tindak balas krisis dan bencana.

"Sepanjang LIMA'25 berlangsung, Jalan LIMA berhadapan lapangan terbang, Dewan LIMA dan Jalan Teluk Baru di simpang Resorts World ke Simpang Kuala Temonyong akan dijadikan laluan sehala mulai 7 pagi hingga 6 petang. Semua pengunjung yang mahu ke pameran di Dewan MIEC digalakkan menggunakan khidmat e-hailing rasmi LIMA'25," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sekiranya menggunakan kereta, pengunjung dinasihatkan menggunakan laluan simpang Hotel Pelangi Resort ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) serta mengelakkan laluan bulatan lapangan terbang dan memasuki tempat letak kereta yang telah dikhaskan.

"Tempat letak kereta yang boleh digunakan oleh pengunjung ialah tapak letak kereta di hadapan Pulapol, Jalan Kuala Muda berhadapan Bella Vista Ekspress serta tempat letak kereta hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Bagi pengunjung pameran maritim pula, tempat letak kereta yang boleh digunakan ialah di Hotel Resorts World dan Jalan Teluk Baru," katanya.

Beliau turut menasihati pengunjung supaya berhati-hati dengan tempahan yang dibuat terutama melalui ejen bagi kereta sewa, hotel, rumah inap dan pakej lain bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak wujud di Langkawi.

Dalam pada itu, Shariman berkata orang ramai terutamanya jemaah haji yang akan berlepas keluar melalui lapangan terbang dinasihatkan supaya keluar dari rumah lebih awal bagi mengelak berlaku kelewatan atau sebarang kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA






#LIMA 2025 #Shariman Ashari #Langkawi #keselamatan lalu lintas #penipuan