KUANTAN: Sebanyak 15,724 daripada 422,472 pili bomba di seluruh negara didapati mengalami kerosakan dan perlu diganti, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata berdasarkan laporan pemeriksaan tahun lepas, antara jenis kerosakan yang berlaku ialah pili bomba diturap sama ada menggunakan tar, tanah atau pasir, bocor akibat paip pecah, dihalang atau terkepung dan spindle injap patah, ketat atau tidak berfungsi.

"Terdapat empat jenis kerosakan utama yang memerlukan peruntukan penyelenggaraan yang tinggi iaitu melibatkan saluran pili bomba, injap pili bomba, kehilangan penutup tiang alur keluar, dan juga menaik taraf pili bomba bawah tanah kepada pili bomba bertiang.

"Bagi kerosakan pili bomba yang kecil seperti saluran pili bomba dipenuhi pasir, tanah atau sampah, pegawai bomba yang melakukan pemeriksaan dan ujian akan terus membuat pembersihan bagi memastikan pili bomba bersih dan baik untuk digunakan pada bila-bila masa," katanya.

Nor Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 JBPM dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, hari ini.

Majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa itu menyaksikan seramai 78 anggota dan pegawai menerima APC manakala lima lagi menerima sijil penghargaan perkhidmatan 30 tahun.

Nor Hisham berkata pihaknya kini melakukan pemeriksaan pili bomba sebanyak tiga kali setahun terutama dalam radius tujuh kilometer dari pusat bandar kerana pili bomba terlibat tidak boleh gagal berfungsi jika berlaku kebakaran.

Pada perkembangan lain, Nor Hisham berkata pihaknya telah melakukan persiapan awal bagi mengelakkan kejadian kebakaran hutan khususnya di tanah gambut, ekoran fenomena cuaca panas berterusan yang melanda negara.

"Kita kini dijangka menghadapi musim kering dan kegiatan pembakaran secara terbuka juga boleh mendatangkan masalah besar iaitu kebakaran hutan. Kita sudah meminta semua bomba negeri bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pemilik ladang untuk tidak melakukan pembakaran terbuka," katanya.

Selain itu, pemilik ladang yang bersempadan dengan kawasan hutan juga diminta menaikkan paras air empangan kecil yang ada bagi mempercepatkan usaha memadamkan api dan mengelakkannya terus merebak jika berlaku kebakaran.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nor Hisham berkata Unit Integriti JBPM telah menerima 80 aduan pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas, dengan salah laku menjadi kesalahan tertinggi iaitu 52 kes selain kes melibatkan salah guna kuasa, rasuah, pentadbiran, pengurusan dan kewangan.

Daripada jumlah kes itu, 35 aduan didapati berasas dengan 19 daripadanya dikeluarkan surat peringatan atau teguran, lapan kes disyorkan penambahbaikan, tujuh kes disyorkan tindakan tatatertib dan satu kes dirujuk kepada agensi penguatkuasaan.

-- BERNAMA