MALAYSIA
Lebih 20,000 industri dianggar guna pakai pengujian, kepakaran SIRIM setiap tahun

Ahmad Sabirin berkata, antara industri terlibat ialah sektor pembuatan, plastik, pembinaan jalan raya dan pakaian. - Gambar Bernama
KULAI: Dianggarkan lebih 20,000 syarikat mengguna pakai pengujian dan kepakaran SIRIM setiap tahun, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Ahmad Sabirin Arshad.
Beliau berkata, antara industri terlibat ialah sektor pembuatan, plastik, pembinaan jalan raya dan pakaian.
"Kita mempunyai kepakaran dan fasiliti untuk melakukan pengujian dan pengesahan di SIRIM selain kita turut bekerjasama dengan semua agensi kerajaan terlibat.
''Ini untuk memastikan apa yang diguna pakai oleh industri termasuk dari segi pembinaan dan sebagainya selamat digunakan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis SIRIM Silaturasa 2025, di SIRIM Johor, di sini, pada Jumaat.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Johor Lee Ting Han.
Ahmad Sabirin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai industri yang menggunakan kepakaran SIRIM.
Beliau dalam pada itu berkata, SIRIM juga mempunyai pusat kecerdasan buatan (AI) yang antaranya memberikan latihan dan bimbingan kepada pihak industri menerusi sebuah program di bawah tajaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
"Menerusi program ini, kita menyasarkan industri-industri mengguna pakai Al di bawah ekosistem Revolusi Industri (IR 4.0).
"Jadi, kita hendak pastikan tahun ini 40 syarikat akan menerima bimbingan dan tahun depan kerajaan menyasarkan sekitar 3,000 syarikat dalam masa tiga tahun, syarikat tersebut disasar menjadi mentor pada syarikat yang kecil,'' katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut yang mendapat sokongan kerajaan akan memastikan Malaysia terus maju seiring perkembangan pesat teknologi.
Terdahulu, SIRIM Silaturasa 2025 bertemakan "Ikatan Melalui Rasa" yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 SIRIM, memberikan peluang kepada pemain industri, agensi kerajaan, wakil media dan rakan akademik untuk berinteraksi dan menjalinkan hubungan secara lebih erat menerusi sesi libat urus interaktif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami