MALAYSIA
Banjir: Sebuah PPS dibuka di Daerah Muallim

Banjir yang melanda lebih 20 buah rumah adalah berpunca apabila hujan lebat yang berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air Sungai Bernam melimpahi ke kawasan rumah. - Foto JBPM Perak
TANJUNG MALIM: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Sekiah, Mukim Hulu Bernam Timur, dekat sini, bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Batu 7, pagi ini.
Pegawai Daerah Muallim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, Mohd Sabli Bakri berkata, PPS itu dibuka pada jam 10.30 pagi.
Menurutnya, pembukaan PPS itu berikutan hujan lebat dan kejadian banjir yang berlaku di kampung tersebut dan kawasan sekitarnya.
“PPS akan dibuka pada hari ini jam 10.30 pagi bagi menyelamat dan menempatkan beberapa buah keluarga yang rumah mereka terjejas dengan limpahan air banjir tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.Bagaimanapun, setakat ini belum diketahui jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat berkenaan.
Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Muallim memaklumkan, keadaan banjir di Kampung Simpang 4 Dalam mula surut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, banjir yang melanda lebih 20 buah rumah adalah berpunca apabila hujan lebat yang berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air Sungai Bernam melimpahi ke kawasan rumah dan kawasan perkelahan berhampiran.
“APM Muallim tiba di Kampung Simpang 4 Dalam, keadaan perkarangan rumah penduduk dan kawasan perkelahan dinaiki air pada paras 1.5 meter disebabkan limpahan air dari sungai yang berada pada jarak lima meter sahaja,” katanya.
Tambahnya, jalan raya di kampung berkenaan turut terputus dan APM Muallim bersama-sama polis dan bomba telah mengeluarkan lebih 100 mangsa yang terperangkap ke tempat selamat.
Bagaimanapun, katanya, tiada PPS dibuka ekoran banjir mula surut dan keadaan cuaca mendung.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami