NATIONAL
Lebih 200 pangkalan haram di Sungai Golok ditutup sejak Disember lepas - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution menghadiri taklimat pengurusan AKPS berkenaan keselamatan di sempadan Malaysia - Thailand di Kompleks ICQS Rantau Panjang hari ini. - Foto BERNAMA
PASIR MAS: Lebih 200 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan telah ditutup sejak Disember lepas susulan tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri dalam menangani jenayah rentas sempadan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ringkasan AI
- Lebih 200 pangkalan haram di sempadan Sungai Golok, Kelantan ditutup sejak Disember bagi mengawal jenayah rentas sempadan.
- Kawalan keselamatan dipertingkat dengan 819 anggota, dan pendekatan berterusan berjaya kurangkan kemasukan haram serta bekalan dadah.
- Terdapat trend baharu sindiket dadah guna laluan di Kedah, dipercayai kesan daripada pengetatan sempadan di Kelantan.
"Walaupun belum ada jumlah signifikan (jumlah individu keluar masuk sempadan), trend keluar masuk secara haram terkawal sejak larangan merentas sempadan negara menggunakan laluan haram berkuat kuasa pada Disember tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata jumlah kekuatan kawalan keselamatan telah dipertingkat dengan 819 anggota dikerahkan secara bergilir untuk operasi pemantauan dan serbuan di kawasan panas sempadan itu.
"Bila kita tutup pangkalan haram, buat pemeriksaan dan operasi secara konsisten, kita dapati bekalan dadah sedikit menurun, namun kita tidak boleh terlalu selesa kerana penyeludup mungkin mencari laluan alternatif," katanya.
Saifuddin Nasution turut memaklumkan wujud trend baharu pendaratan dadah di kawasan Kuala Kedah dan Kuala Sanglang yang kini dikesan sebagai lokasi baharu bagi sindiket pengedaran, dipercayai susulan kawalan ketat di sempadan Kelantan.
"Saya dimaklumkan minggu lepas bahawa terdapat sedikit peningkatan pendaratan dadah di Kedah. Saya sedang siasat sama ada ia ada kaitan langsung dengan pengetatan kawalan di Kelantan.
"Oleh itu, saya kena semak dengan Ketua Polis Kedah (Datuk Fisol Salleh) sama ada disebabkan penutupan pangkalan haram di Kelantan menyebabkan mereka mengubah lokasi dengan menggunakan laluan di Kedah," katanya.
Beliau berkata pemantauan rapi akan diteruskan termasuk terhadap kemungkinan wujudnya pangkalan haram baharu yang dibina semula selepas tindakan penutupan dilakukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami