MALAYSIA

Lebih 200 premis makanan terima pengiktirafan BeSS, 72 premis diarah tutup di Kelantan

Bernama 05/02/2026 | 23:30 MYT
Jabatan Kesihatan Kelantan menggalakkan lebih banyak pengusaha makanan memohon pengiktirafan BeSS dan TMC bagi meningkatkan tahap kebersihan serta keselamatan makanan di negeri itu. - Gambar fail/BeSS
KOTA BHARU: Sebanyak 236 premis restoran di Kelantan menerima pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) dalam tempoh tiga tahun lepas manakala 60 pengusaha katering dianugerahkan pensijilan Trust MyCatering (TMC) sehingga semalam.


Ringkasan AI
  • 236 premis restoran di Kelantan dianugerahkan pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) dalam tiga tahun lepas, manakala 60 pengusaha katering menerima pensijilan Trust MyCatering (TMC) sehingga semalam.
  • 72 premis makanan termasuk kantin dan kedai makan diarah tutup kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan oleh Kementerian Kesihatan.
  • Pensijilan TMC bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan katering dengan menekankan kawalan suhu makanan, penyimpanan bahan mentah, dan kebersihan pekerja.


Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Natrah Abu Bakar bagaimanapun berkata sebanyak 72 premis makanan termasuk kantin dan kedai makan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata pengiktirafan BeSS diberikan kepada premis makanan yang memenuhi kriteria kebersihan, pengendalian makanan yang selamat serta pematuhan terhadap Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan berkaitan.

Natrah berkata pensijilan TMC pula bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan katering dengan memastikan pengusaha mematuhi standard keselamatan makanan yang lebih ketat.

"Antara aspek yang dititikberatkan termasuk kawalan suhu makanan, kaedah penyimpanan bahan mentah dan kebersihan pekerja," katanya selepas Majlis Pengiktirafan Pensijilan BeSS dan TMC kepada Sya Suarasa Katering di Kok Lanas di sini semalam.

Natrah ketika mengulas mengenai tindakan penutupan premis berkata langkah itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya usaha pencegahan bagi melindungi kesihatan awam.

Beliau berkata premis yang diarahkan tutup diberikan tempoh untuk melakukan penambahbaikan dan hanya dibenarkan beroperasi semula selepas lulus pemeriksaan susulan.

Menurut Natrah, pihaknya turut menggalakkan lebih banyak pengusaha makanan memohon pengiktirafan BeSS dan TMC bagi meningkatkan tahap kebersihan serta keselamatan makanan di negeri itu.

Selain itu, orang ramai disaran memilih premis yang mempamerkan sijil BeSS atau TMC sebagai jaminan kualiti makanan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna termasuk dalam urusan pemilihan pembekal bagi tender pembekalan makanan.

-- BERNAMA






#BESS #premis makanan #Kelantan #kebersihan